27.0. PARA PEJUANG DALAM PERSILATAN SILAT CEKAK.

Satu daripada kelebihan yang ada dalam zaman persilatan Ustaz ialah ada ramai para ahli yang boleh dianggap sebagai pejuang Silat Cekak. Jasa mereka sangat besar dalam perkembangan silat dan saya anggap jasa mereka itulah yang menjadi asas kepada perkembangan persilatan Silat Cekak yang ada sekarang ini. Maknanya, mereka telah memberi sumbangan bagi memperkenalkan persilatan Silat Cekak dalam kalangan masyarakat kita.

Cuma, akibat pepecahan yang berlaku sekarang, ada jasa-jasa dalam kalangan mereka yang tidak membawa makna. Peranan mereka dilupakan begitu sahaja. Hanya menjadi kenangan pada ahli-ahli lama yang bergiat sejak zaman Ustaz lagi. Kalaupun mereka mereka masih ada tapi jika berbeza persatuan maka persatuan yang bertentangan akan terus melupakan peranan yang pernah mereka mainkan dalam perkembangan Silat Cekak dulunya. Malang juga akhirnya nasib mereka.

Pejuang ialah bermaksud orang yang berjuang untuk mempertahankan sesuatu. Orang ini ada semangat juang yang sangat tinggi. Mereka sanggup mencapai sesuatu itu walaupun terpaksa beradu tenaga yang ada seperti kuasa dan kekuatan dengan pihak yang menentangnya atau yang boleh memudaratkan perjuangannya. Saya dapat perhatikan dalam mana-mana organisasi yang ada dalam negara kita, organisasi itu akan menjadi mantap dan berkembang pesat apabila ada para pejuangnya.

Dalam perjuangan politik, hal yang demikian amat ketara. Hinggakan, negara kita mencapai kemerdekaan adalah kerana adanya barisan pejuang. Malah, ketika zaman penjajahan Inggeris di negeri-negeri Melayu, telah ada para pejuang yang sanggup berjuang bagi pembebasan tanah airnya. Peranan mereka amat besar dan sangat dialukan-alukan rakyat negeri.
Lihat saja suasana negara kita sekarang ini. Pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi pimpinan Perdana Menteri. Beliau tersangat beruntung kerana wujudnya para pejuang yang sentiasa ke hadapan bagi membela kedudukannya. Kita tidak lihat pada sebabnya tapi kita boleh lihat pada kewujudan mereka yang menjadi pembela utama.

Dalam konteks Silat Cekak dulunya, golongan ahli inilah yang mempunyai semangat yang tinggi bagi mempertahankan Silat Cekak. Di samping itu mereka berusaha menyakinkan masyarakat tentang perlunya mempelajari Silat Cekak. Peranan mereka umpama Guru Utama tapi sifat mereka tetap bukannya Guru Utama. Maknanya, tugas memperkembangkan Silat Cekak turut melibatkan peranan mereka, sama seperti peranan Guru Utama.

Tidak pulak Ustaz berasa iri hati atau berasa dengki dengan kemunculan mereka. Kehadiran dan peranan mereka diakui Ustaz. Apabila Guru Utama mengesahkan peranan mereka maka secara langsung para ahli memberi penghormatan yang tinggi atas perjuangan mereka itu.

Peranan mereka tersangat penting kerana pada peringkat awal penapakan Silat Cekak dalam pentas persilatan di negara ini, banyak pancaroba yang perlu dihadapi. Bukan senang untuk mendapat tempat dan mendapat perhatian masyarakat. Ketika itu telah ada persilatan Melayu lain yang hebat-hebat dan kukuh kedudukan mereka di hati masyarakat. Untuk bertapak, Silat Cekak perlu diperjuangkan oleh para pejuang yang benar-benar komited dalam perjuangannya. Maka muncullah beberapa tokoh dalam kalangan ahli yang berjaya berbuat demikian.

Ketokohan mereka dalam persilatan dan persatuan Silat Cekak tidak menjadi saingan apa-apa terhadap Guru Utama. Malah, seperti yang saya tegaskan, Ustaz sendiri sentiasa memberi sokongan dan penghargaan atas sumbangan yang mereka berikan. Tidak timbul soal bersaing pengaruh atau ingin bersaing pengaruh atau bersaing kuasa. Oleh itu, konsep cantas-mencantas bukan menjadi perkara yang patut dimulakan. Perkara pentingnya ialah sifat mereka sebagai pejuang bagi mempastikan Silat Cekak berkembang pesat dalam kalangan masyarakat.

Dalam tulisan ini saya cuba menyingkap kembali peranan mereka berdasarkan pengalaman saya bersama mereka dalam persatuan dan persilatan Silat Cekak zaman Ustaz. Penceritaan saya adalah berdasarkan zaman dulu-dulu iaitu zaman Silat Cekak pimpinan Ustaz Hanafi. Mungkin ada pengajaran atau pelajaran yang boleh dicontohi buat generasi yang ada sekarang.

Saya dapat saksikan betapa golongan ini sentiasa berkhidmat untuk Ustaz tanpa banyak persoalan. Pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit tidak menjadi persoalan dan bebanan. Saya tidak pernah mendengar sebarang rintihan yang melambangkan sifat mereka yang tidak berpuas hati. Biasanya kalau menjadi ahli jawatankuasa maka mereka perlu memberi sumbangan tetap pada persatuan. Tugas kena buat, duit kena keluarkan. Jawatan dalam persatuan tidak menjadi rebutan. Jawatan bukannya satu keistimewaan tapi lebih merupakan satu tanggungjawab untuk memikul tugas persilatan. Persatuan Silat Cekak yang diurus adalah merupakan alat dalam perkembangan silat.

Golongan pejuang ini sentiasa mertahankan nama baik Silat Cekak. Pada peringkat awal persilatan Silat Cekak, apabila ada cabaran bertry dari pertubuhan silat lain maka para pejuang ini tidak teragak-agak tampil ke depan dalam perjuangan mempertahankan nama baik dan maruah Silat Cekak. Dalam tulisan-tulisan yang lalu saya selalu menyentuh tentang peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan cabar-mencabar dan try-bertry dengan persilatan lain. Semuanya dihadapi dengan penuh keyakinan bagi mempastikan Silat Cekak berada dalam satu kedudukan yang mantap dalam pentas persilatan Melayu.

Sifat mereka tersangat berani. Tidalk hairanlah mereka sanggup berdepan dengan para pesaing kita walaupun syarat bertry amat berat. Biasanyanya kita meletakkan tiga syarat iaitu patah, pengsan dan mati. Sifat berani ini juga dipancarkan melalui usaha-usaha mengembangkan Silat Cekak dalam keadaan silat lain telah bertapak kukuh di satu-satu tempat. Dalam hal ini, mereka tersangat yakin dengan konsep apabila timbul yang hak maka akan musnahnya yang batil. Atas keyakinan itu mereka yakin akan kebenaran Silat Cekak dan yakin betapa perlunya setiap ahli masyarakat melibatan diri dengan Silat Cekak. Secara langsung maka Silat Cekak mula dikembangkan ke seluruh pelusuk tanah air. Boleh dikatakan semua negeri ada kelas-kelas Silat Cekak.

Satu lagi sifat mereka yang saya kagum ialah sifat merendah diri. Tidak sombong dan mudah didekati. Mereka boleh bergaul dan boleh diajak bersembang pada bila-bila masa. Setiap soalan dan persoalan kita akan mereka layan dengan cara hormat. Secara langsung, mereka bersifat hormat pada ahli-ahli yang lain. Maka kesannya, ahli-ahli yang lain tetap menghormati mereka tanpa menunjuk akan sifat membeza layanan dan penghormatan sesama mereka. Semuanya dihormati secara sama rata.

Hubungan sesama mereka adalah erat. Boleh dikatakan ketika itu tidak ada kumpulan-kumpulan atau puak-puak yang cuba menegakkan satu-satu pendapat secara tanpa tolak ansur. Perbezaan pendapat adalah perkara biasa yang tidak membawa kesan dalam hubungan. Bertengkar dalam mesyuarat tapi boleh duduk makan semeja sepanjang masa. Masing-masing tahu akan tanggungjawab yang perlu dipikul. Tidak timbul soal persaingan pengaruh atau kuasa.

Saya terkenang watak-watak mereka. Para pembaca jangan sensitif dengan tulisan nama-nama yang saya sebut. Saya menulis berdasarkan pengalaman dan pengalamian saya dulunya. Zaman sebelum kita berpecah. Jangan diukur sikap mereka sekarang ini. Saya menulis berdasarkan konteks dulu. Zaman saya dulunya. Zaman Ustaz Hanafi.

Tokoh-tokoh pejuang dalam Silat Cekak boleh dikategorikan dalam pelbagai sudut atau pelbagai sifat. Saya hanya sentuh secara umum. Dari segi masa, terdapat para pejuang di zaman awal Silat Cekak berkembang, perkembangan Silat Cekak di Lorong Hj Sirat dan para pejuang di zaman pusat silat bertapak di Jalan Putera. Kalau dari segi umur maka ada generasi tua dan ada generasi muda. Kalau segi pengurusan maka terbayang pula muka-muka para pejuang dalam bidang persilatan dan para pejuang dalam bidang persatuan.

Pada peringkat awal perkembangan silat kita, terbayang watak-watak Pak Kadir, Hashim Sham, Pak Din, Ghazali dan sebagainya. Dari segi persilatan, nama Pak Ak, Hasan Dahaman, Pak Wan, Jo Marwi, Ramli Boyan dan Borhan Manap tidak mudah saya lupkan. Apabila disebut pengurusan persatuan mana boleh saya lupakan jasa-jasa Pak Am, Nasir, Kamarul dan banyak lagi. Ketika kita di zaman puncak, timbul pula para pejuang generasi pelapis yang sentiasa berdiri teguh dalam persilatan Silat Cekak. Nama-nama Khalid Cina dan Maiden amat popular sekali.

Kelahiran dan kewujudan para pejuang tersebut benar-benar memberi faedah yang tersangat besar pada persilatan dan persatuan. Persatuan Silat Cekak menjadi mantap dari masa ke masa. Dalam kalangan ahli, peranan mereka sangat-sangat dihormati. Silat Cekak tidak dapat dipisahkan dengan populariti mereka. Secara langsng maka Silat Cekak telah berkembang pesat di seluruh negara. Ketika itu kita dapat rasakan seolah-olah silat Melayu akan dikuasai Silat Cekak. Di mana-mana sahaja, Silat Cekak sentiasa menjadi sebutan dan perbualan mayarakat. Pembukaan kelas di pusat-pusat pengajian tinggi telah menjadi salah satu agenda utama.

Silat Cekak telah diangkat pada satu kedudukan yang tertentu. Hal yang demikian terutamanya apabila mereka yang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi mula bekerja dalam sektor kerajaan dan sektor swasta. Kedudukan mereka dalam kedua-dua sektor pekerjaan itu secara langsung telah mengangkat darjat Silat Cekak. Ketika itu dapat dirasakan betapa Silat Cekak tidak ada saingan lagi. Silat Cekak diyakini akan dapat menguasai pentas persilatan Silat Melayu di negara ini. Hebat sekali.

Ketokohan mereka menjadi sumber inspirasi dalam kalangan ahli. Dari segi persilatan, ahli-ahli sentiasa menyebut kehebatan mereka bersilat. Penguasaan merka dalam gerak tangan dan gerak kaki amat hebat sekali. Kalau mereka bersilat, nampak sangat kemantapan geraknya. Sifat yang demikian menjadi satu idaman dalam kalangan ahli yang lain. Ramai ahli yang bercita-cita menguasai gerak seperti mana penguasaan gerak yang mereka kuasai. Oleh itu ramai dalam kalangan ahli yang menjadikan ketokohan mereka sebagai idola dalam gerak silat.

Malah, para ahli mencari ruang dan peluang untuk berbincang dan bersilat bersama-sama mereka. Ambil berkat. Dalam hal ini saya rasa bertuah kerana rasa-rasanya saya berpeluang berlatih silat dengan kesemua meraka dalam waktu-waktu yang tertentu. Terasa kepuasan bersilat dalam Silat Cekak. Rasa puas bersilat. Rupa-rupanya,  mereka mempunyai satu-satu keistimewaan dan satu-satu kelebihan yang tersendiri. Lain orang maka lain keistimewaannya. Sebab itu mereka mempunyai kebolehan yang tertentu dan agak luar dari kebiasaan. Gerak itulah yang cuba dicungkil dan dikongsi.

Kalau dari segi pergurusan, ketokohan para pejuang tersebut mengendalikan persatuan adalah sangat dikagumi. Hal yang demikian amat menyenangkan Ustaz. Dalam hal ini, Ustaz sentiasa memberi sokongan pada usaha-usaha yang mereka lakukan. Kewujudan mereka tidak langsung dianggap sebagai pesaing pada kepimpinan Guru Utama. Semua ahli mengakui kepentingan kewujudan mereka dalam usaha menggerakkan persilatan dan persatan Silat Cekak.

Saya yakin para pejuang itu sedar akan kepentingan peranan mereka. Ustaz memberi kepercayaan penuh pada mereka. Akan tetapi, hal yang demikian tidak menjadikan mereka bersifat sombong dan meninggi diri. Saya tidak nampak sebarang tanda yang menunjukkan sifat mereka yang cuba memisahkan diri dengan ahli-ahli yang lain. Maknanya, mereka sentiasa senang digauli dan senang didekati walaupun menjadi orang harapan dan orang penting pada Guru Utama.

Apabila berhadapan dengan mereka, ahli-ahli tetap melahirkan perasaan hormat mereka. Maknanya, penghormatan yang tinggi tidak saja diberi pada Guru Utama, malah meliputi pada peranan dan tanggungjawab mereka yang merupakan pejuang utama Silat Cekak. Tambahan pula mereka tidak bersifat sombong. Mereka sentiasa berhubung erat dengan ahli-ahli yang lain. Maka secara langsung wjudlah perasaan hormat-mengormati sesama ahli dalam persilatan dan persatuan Silat Cekak.

Saya boleh membuat kesimpulan bahawa salah satu faktor yang banyak membantu perkembangan Silat Cekak dulunya ialah kewujudkan bilangan para pejuang Silat Cekak yang ramai dan pelbagai. Masing-masing ada keistimewaan yang tertentu dan tahu akan tanggungjawab yang diamanahkan pada mereka. Tidak timbul sebarang persaingan sesama mereka yang membolehkan kewujudan puak-puak atau kumpulan-kumpulan jadian. Sifat dengki dan khianat amat kurang sekali dan sentiasa dikawal. Oleh itu, hal-hal yang berkaitan dengan sifat cantas-mencantas atau singkir-menyingkir tidak menjadi perkara utama.

Itulah antara lain kenangan saya bersama-sama mereka tempoh hari. Saya hanya dapat bercerita tentang pengalaman lalu dengan harapan mungkin sifat dan suasana itu boleh dijadikan contoh untuk ketika ini. Hal yang demikian bagi mempastikan persilatan dan persatuan kita sentiasa menjadi mantap dan berkembang pesat dari masa ke masa. Tambahan pula persilatan dan persatuan kita mula berkembang semula. Kita baru pulih dari ribut taufan yang pernah melanda.

Dalam hal ini semua ahli perlu memainkan peranan untuk bersama-sama dalam pembangunan Silat Cekak. Elakkan sebarang isu dan persengketaan sesama ahli. Sepatutnya, hal-hal yang menganggu proses perkembangan itu perlu dihindari. Jangan diikutkan hawa nafsu, nanti lesu. Jangan diikutkan kata hati nanti mati.

Kalau saya bertanyakan pada ahli-ahli yang sedia ada, selain Guru Utama, siapakah sumber inspirasi mereka bagi kemajuan diri mereka dalam persilatan Silat Cekak. Cer jawab. Ketika ini, selain daripada Guru Utama, siapa pulak yang menjadi tempat rujukan para ahli dalam bidang persilatan dan persatuan. Kalau ada, alangkah baiknya keadaan tersebut. Kalau tidak ada lagi, nampaknya terdapat kekosongan dalam proses perjangan Silat Cekak seperti mana yang berlaku dulunya.

Saya tidak perlu memberi sebarang ulasan tentang buruk baiknya kewujudan para pejuang. Apa yang pastinya, kewujudan para pejuang di zaman Ustaz benar-benar telah membantu Guru Utama demi mengenengahkan persilatan Silat Cekak. Kualiti ahli juga sentiasa ditingkatkan kerana ada matlamat mereka bersilat dan menjadikan para pejuang itu sebagai idola mereka.Sekian.

Advertisements

26.0.0. PENERBITAN DAN PENYUSUNAN BUKU-BUKU SILAT CEKAK.

 

Saya telah menangguhkan penulisan dalam blog saya kerana memberi tumpuan bagi menyusun dua buah buku. Buku-buku tersebut adalah berkaitan dengan pengalaman dan pengalamian saya sepanjang berada dalan zaman kegemilangan persilatan Silat Cekak sejak empat puluh tahun yang lalu. Setakat ini saya telah menyusun enam buah buku berkaitan dengan persilatan Silat Cekak. Itulah sumbangan saya untuk generasi seterusnya dalam persilatan Silat Cekak.

1. Sepak Minang.

Perbincangan dalam buku ini tertumpu pada pelajaran Silat Cekak itu sendiri. Saya menulis berdasarkan pengalaman saya menerima setiap buah yang ada dalam Silat Cekak daripada Ustaz. Apakah tanggapan dan perasaan saya ketika menerima buah-buah tersebut. Semuanya akan terjawab apabila kita membaca tulisan dalam buku ini.

2. Lading Emas.

Buku ini menekankan aspek pengurusan dalam organisasi  persilatan. Dalam pengurusan persatuan perlu ada kemahiran-kemahiran pengurusan yang tertentu. Saya membuat perbincangan secara mengaplikasikan kemahiran-kemahiran berorganisasi tersebut dengan sifat dan sikap kita sebagai ahli silat. Hal yang demikian akan memudahkan pengurusan kita untuk mengendalikan persilatan Silat Cekak.

Dalam bab permulaan, saya telah membincangkan ketokohan dan kepemimpinan Ustaz Hanafi. Hal yang demikian sebagai bandingan pada isi perbincangan seterusnya dalam buku berkenaan. Kita boleh membuat bandingan antara kepimpinan Ustaz dengan corak kepimpinan yang cuba kita usahakan.

3. Kebenaran Silat Cekak.

Buku ini membicarakan tentang hak mempusakai pelajaran Silat Cekak. Saya telah membincangkan syarat-sayarat menjadi Guru Utama seperti mana yang difahamkan Ustaz pada saya. Walau bagaimanapun, penerbitan buku ini saya telah saya serahkan pada pihak persatuan  untuk membuat cetakan. Setakat ini saya difahamkan bahawa buku ini belum tercetak lagi.

Saya yakin bahawa buku tersebut dapat menjawab pelbagai persoalan yang berkaitan dengan pelantikan guru, keaslian Silat Cekak dan asal usul pepecahan yang berlaku. Para ahli silat kita tersangat sesuai memiliki buku tersebut sebagai bahan rujukan.

4. Masak Gerak.

Saya telah membincangkan secara panjang lebar tentang kandungan buku ini dalam tulisan yang lalu. Saya rasa buku ini adalah berbentuk ilmiah dan tersangat berguna bagi menambahkan pengetahuan kita berkenaan dengan konsep-konsep yang ada dalam persilatan Silat cekak. Sila baca tulisan yang terdahulu bagi memahami maksud isi kandungan  buku tersebut.

Dalam buku itu saya menekankan akan betapa pentingnya kefahaman pada konsep-oonsep yang ada berdasarkan ungkapan, kecekapan dan pengaplikasian. Hal yang demikian bagi membolehkan diri kita diiktiraf sebagai seorang penuntut yang berkemahiran tinggi dalam persilatan Silat Cekak.

5 Denyut Gerak Jilid pertama.

Buku ini membincangkan tentang proses saya mendapatkan ilmu atau pelajaran Silat Cekak. Buku ini juga turut membincangkan tentang rupa bentuk Silat Cekak berdasarkan pelajarannya. Dalam buku yang terdahulu, saya telah menulis tentang rupa bentuk bagi mengenali Silat Cekak melalui ungkapan-ungkapan yang ada dalam kefahaman Silat Cekak.

Sebaliknya dalam buku ini saya cuba menarik perhatian pembaca mengenali Silat Cekak melalui pelajarannya. Sebelum itu, saya cuba menarik perhatian pembaca pada beberapa persoalan yang sering ditimbulkan berkaitan Silat Cekak. Persoalan-persoalan itu begitu hebat diperkatakan pada masa lalu. Mungkin pada masa sekarang tidak banyak perbahasan mengenainya lagi.

Saya cuba menulis secara membawa para pembaca berfikir akan isi tulisan saya. Daripada bentuk tulisan bercorak cerita, lebih baik saya menulis bentuk tulisan yang banyak mengulas. Saya akan mengemukan beberapa persoalan bagi maksud renungan dan perbincangan bersama. Hal yang demikian saya lakukan supaya kita boleh berfikir dan berbincang tentang Silat Cekak daripada kita hanya menerima kefahaman yang ada dalamnya.

Cara penulisan saya itu ada kaitan dengan pengalaman saya sendiri dalam proses pembelajaran Silat Cekak. Sebelum saya terlibat dengan Silat Cekak pada tahun 1974, saya telah terlibat dengan pelbagai jenis seni bela diri orang Melayu. Hal yang demikian tidak memudahkan saya menerima kefahaman Silat Cekak dalam pemikiran saya. Dalam hal ini, saya sentiasa membuat perbandingan antara pelajaran yang ada dalam Silat Cekak dengan pelajaran yang sedia ada pada saya. Dalam proses memahami inilah banyak perkara yang timbul. Perkara-perkara inilah juga saya masukkan dalam tulisan ini.

Saya juga cuba menulis tentang upacara yang ada dalam persilatan Silat Cekak berdasarkan perasaan saya ketika itu. Oleh itu, ada juga stail tulisan saya yang berbentuk epilog bagi memudahkan saya melahirkan perasaan saya berkaitan dengan upacara tersebut. Perbincangan saya mengenai sijil, senjata dan kebatinan adalah berdasarkan pengalaman yang berkaitan dengan perkara-perkara tersebut.

Saya bernasib baik kerana saya sering berdamping rapat dengan Guru-Guru Utama sejak zaman Ustaz hingga kepada zaman pengganti-penggantinya. Dalam zaman Ustaz lagi saya berpeluang mendapatkan penjelasan dari semua segi kefahaman yang ada dalam persilatan Silat Cekak. Hal yang demikian meliputi gerak Silat Cekak, falsafah kefahaman dan pelbagai konsep yang ada dalam persilatan Silat Cekak itu sendiri. Oleh itu saya berasa yakin bahawa isi perbincangan saya adalah tidak menyimpang dari landasan kefahaman yang sememangnya ada dalam persilatan Silat Cekak.

Mungkin isi perbincangan saya sudah tidak sesuai dengan suasana yang ada sekarang. Hal yang demikian tidak mendatangkan masalah. Perkara yang penting ialah usaha saya untuk berkongsi pengalaman tentang apa yang saya alami pada zaman dulunya. Zaman empat puluh tahun yang lalu. Ada hulu ada parang. Ada dulu maka ada sekarang.

Kita perlu akui bahawa perkembangan Silat Cekak yang wujud sekarang adalah erat kaitannya dengan peristiwa-peristiwa yang telah berlalu. Maka, apalah salahnya jika kita mengetahui serba sedikit suasa dan peristiwa lalu bagi memudahkan kefahaman kita pada Silat Cekak yang ada sekarang.

6. Denyut Gerak Jilid Kedua.

Buku ini pula ada kaitan dengan pengalaman dan pengalamian saya seperti mana yang ditlis dalam jilid pertama. Maknanya, buku Denyut Gerak Jilid Kedua adalah lanjutan perbincangan daripada buku yang terdahulu.

Saya mulakan perbincangan dengan menyingkap kembali pepecahan yang berlaku secara umumnya dalam persilatan kita. Perbincangan penuh adalah berdasarkan tulisan saya dalam biku Kebenaran Silat Cekak. Saya sengaja membincangkan soal pepecahan tersebut kerana sesungguhnya pepecahan yang berlaku dalam persatuan Silat Cekak turut mempengaruhi pembelajaran dan pelajaran Silat Cekak itu sendiri.

Perubahan adalah merupakan satu perkara yang tidak boleh dielakkan. Semua perkara dalam dunia ini akan berubah. Silat Cekak juga adalah turut berubah. Tambahan pula Silat Cekak itu sendiri tidak mempunyai kawalan berpusat. Kini, Silat Cekak telah dikesuai oleh banyak persatuan. Oleh itu, perubahan dalam persilatan Silat Cekak tjdak dapat dikawal dan akan terus berlaku dari masa ke masa. Walau bagaimanpun, setakat ini, semua persatuan yang mengendalikan persilatan Silat Cekak tetap menegaskan bahawa persilatan yang dikendung mereka adalah merupakan pusaka Hanafi iaitu peninggalan pelajaran yang telah dibentuk Ustaz Hanafi sendiri.

Hal yang demikianlah buku ini melanjutkan perbincangan tentang konsep pelajaran Silat Cekak yang diwarisi Ustaz berdasarkan kefahaman saya. Dalam buku ini, saya cuba membincangkan pengamalan saya sepanjang berguru dengan Ustaz Hanafi. Perbincangan saya itu bolehlah dijadikan pengetahuan untuk melihat akan perubahan yang berlaku dalam pesilatan kita dari masa ke masa. Saya tidak menyentuh soal baik atau buruknya perubahan itu, melainkan berceritakan pengalaman saya akan sistem pelajaran Silat Cekak yang pernah saya pelajari di zaman Ustaz.

Saya sangat berminat dengan bidang persilatan. Atas sebab minat itulah telah menarik perhatian saya untuk mendalami Silat Cekak. B agi menambahkan pengetahuan tentang Silat Cekak maka saya mengambil daya usaha untuk berhubung rapat dengan gurunya yang bergelar Guru Utama. Hasil perbincangan dengan Guru Utama tersebut maka saya menganjurkan pembukaan kelas di pusat pengajian saya. Pada peringkat awal penglibatan, boleh dikatakan kesemua penuntut kelas Silat Cekak adalah terdiri dari mereka yang pernah mendalami seni bela diri sama ada dalam negara atau luar negara..

Bukan mudah kami menerima konsep baru dalam gerak persilatan Silat Cekak. Silatnya ringkas, mudah, tidak ada kuda-kuda, tidak ada tari silat dan pelbagai prinsip lagi yang menyanggah kebiasaan gerak yang ada dalam kebanyakan persilatan Melayu. Pada peringkat awal, timbul pertentangan antara kefahaman yang sedia ada dengan kefahaman baru yang baru kami pelajari dalam Silat Cekak.

Proses memahami gerak inilah yang telah menyebabkan pelbagai ilmu pengetahan baru semakin terserlah mengenai Silat Cekak. Lagi lama belajar maka lagi faham. Baru terasa kelebihan yang ada dalam persilatan Silat Cekak. Perasaan inilah yang perlu saya kongsi bersama dengan para pembaca..

Banyak kefahaman dan peringatan berbentuk nasihat yang diberi Ustaz dalam proses mendapatkan ilmu. Kami sedar bahawa nasihat-nasihat Ustaz itu adalah berdasarkan pengalamannya. Berdasarkan hal yang demikian menarik perhatian saya bagi mendapatkan pengalaman secara lebih mendalam dalam ;persilatan dan ilmu masyarakat Melayu. Hal yang demikian penting bagi saya untuk memahami apakah maksud nasihat dan kefahaman yang diberi Ustaz itu.

Sudah semestinyalah usaha saya itu setelah mendapat kebenaran dari Ustaz. Hal yang demikian amat penting bagi mengelak fitnah yang boleh timbul dalam kalangan ahli. Pengalaman mendapatkan ilmu-ilmu tersebut juga saya berkongsi bersama dengan para pembaca. Tujuannya agar pengalaman saya itu dapat dijadikan panduan dan sempadan pada mereka yang berminat dengan ilmu-ilmu megah yang ada dalam masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun,. pada mereka yang tidak berminat hal yang demikian tidak mengapa. Pada kebenarannya ilmu yang sedia ada dalam persilatan Silat Cekak adalah mencukupi bagi dijadikan panduan dan teman hidup.

Dalam tajuk Penutup, saya menyentuh tentang beberapa tindakan yang terburu-buru menurut hawa nafsu hingga menyebabkan Silat Cekak sukar diperlihara lagi. Saya menggunakan istilah kalau. Maka kalaulah segala tindakan tidak menurut hawa nafsu maka Silat Cekak pastinya sentiasa mantap dan tidak berpecah belah seperti yang berlaku. Walau bagaimanapun saya tetap menerima hakikat bahawa Silat Cekak telah berpecah dan akan terus mengalami proses perubahan dari masa ke masa. Persoalannya, apakah yang berubah. Saya berharap melalui dua buau buku yang saya tulis ini dapat memjawab maksud perubahan itu..

Dua buah buku yang terakhir, bertajuk Denyut Gerak banyak menyentuh proses saya mendapatkan ilmu persilatan Silat Cekak. Dalam proses inilah banyak pengalaman yang saya lalui dan saya rasa sangat berguna untuk dikongsi bersama dengan para pembaca.

Dalam persilatan Silat Cekak akan mudah kita mengaitkan Silat Cekak dengan pergerakan tangan dan pergerakan kaki. Kita berasa seolah-olah tersangat mudah untuk mempelajari dan menguasai Silat Cekak. Pelajarannya tidak banyak. Senang belajar dan cepat dapat. Pelajaran enam bulan. Ada sistem dan ada proses pembelajarannya. Sikit tunjuk, banyak yang dapat.

Pada kebenarannya, untuk mendapatkan ilmu dalam persilatan Silat Cekak itu, ada juga susahnya. Kita perlu ada hubungan erat dengan ahli-ahli yang lain, sama ada hubungan kita dengan Guru Utama, Jurulatih dan rakan-rakan pelatih Silat Cekak sendiri. Dalam proses hubungan bagi mendapatkan ilmu itulah maka pelbagai perkara boleh berlaku. Ketika itulah kita boleh merasai betapa tidak mudahnya bagi kita untuk menguasai pergerakan dua tangan dan dua kaki yang dikatakan mudah itu.

Jika kita tersilap langkah, berkemungkinan usaha-usaha kita mendapatkan ilmu akan terbantut sekerat jalan. Kita akan berasa kecewa atau akan dikecewakan. Banyak masa akan terbuang begitu sahaja. Ramai ahli yang terperangkap dalam gejala ini. Perkara yang sedemikian tersangat perlu dihindari. Alang-alang belajar, biarlah belajar sampai habis. Untuk belajar habis memerlukan ketabahan dan kesabaran.

Dalam kalangan ahli silat kita, terdapat pelbagai ragam dan sifat manusia yang perlu kita hadapi. Di sinilah betapa pentingnya kita perlu selamat dalam proses pembelajaran persilatan Silat Cekak. Tentunya dalam konteks untuk mendapatkan ilmu Silat Cekak secara sepenuhnya. Dalam hal ini, saya yakin bahawa perbincangan dalam buku Denyut Gerak dalam kedua-dua jilid ini akan dapat memberi panduan.

Dalam buku tersebut saya akan berongsi pengalaman bagi membolehkan kita menghadapi segala jenis karenah yang ada dalam persilatan dan persatuan. Saya yakin bahawa segala bentuk karenah yang ada sekarang ini adalah juga berkaitan dengan apa yang pernah berlaku dulunya. Maka elok sangat jika ahli-ahli turut memiliki buku-buku tersebut.

Cuma, tulisan dalam kedua-dua buku itu tersangat panjang. Mencecah hampir lima ratus muka surat. Dua buah buku menjadi seribu muka surat. Bacalah secara perlahan-lahan. Banyak bahan rujukan yang berkaitan dengan segala segi Silat Cekak, ada dalam tulisan tersebut.

Akhirnya, saya akan berusaha menyusun sebuah buku lagi yang akan membincangkan tentang kesimpulan pengajaran dan kefahaman Ustaz. Apakah yang sebenarnya saya perolehi dan saya cari dalam persilatan Silat Cekak. Tunggulah penerbitannya. Sekian.

Penerbitan Buku MASAK GERAK.

 Alhamdulillah, saya telah berjaya menyusun sebuah buku lagi mengenai persilatan Silat Cekak. Buatlah koleksi bahan terbitan yang saya usahakan itu sebagai rujukan bagi menambahkan pengetahuan. Setakat ini telah ada 4 buah buku. Sepak Minang, Lading Emas, Kebenaran Silat Cekak dan buku terbaharu ini.

Buku ini adalah berkaitan dengan ungkapan-ungkapan yang ada dalam persilatan Silat Cekak. Dalam persilatan Silat Cekak, terdapat dua bentuk yang menarik bagi mengenali persilatan Silat Cekak. Bentuk-bentuk itu ialah pantun dan ungkapan. Dalam buku ini saya memberi tumpuan pada tafsiran mengenai ungkapan-ungkapan yang saya fahami sepanjang pengalaman saya berada dalam persilatan Silat Cekak lebih empat puluh tahun.

Saya menggunakan tajuk buku Masak Gerak berdasarkan kiasan yang tersendiri. Konsep masak merupakan pelambangan pada pemikiran yang matang dan sempurna. Sifatnya juga adalah benar-benar faham dan boleh membuat pertimbangan secara teliti dan sempurna. Dalam konteks gerak, kita merujuk konsep pergerakan dua tangan dan dua kaki yang merupakan sifat utama persilatan Silat Cekak. Secara langsung, ahli yang masak gerak membawa makna keupayaannya menguasai segala hal yang berkaitan dengan persilatan Silat Cekak.

Dalam buku ini saya huraikan tentang maksud ungkapan yang menjadi sebutan dan perbincangan popular pada zaman saya yang lalu. Saya tersangat berharap usaha saya ini akan memberi faedah bagi para pembaca untuk meluaskan pengetahuan tentang Silat Cekak. Saya petik pengenalan yang berkaitan dengan ungkapan itu dari buku yang diterbitkan.

Dalam persilatan Silat Cekak kita sudah biasa dengan konsep silat ialah gerak dan yang memberi gerak ialah Yang Empunya Gerak. Kita merujuk pergerakan gerak itu sebagai pergerakan dua tangan dan dua kaki. Sesungguhnya, ungkapan itu adalah tersangat menarik dan senang disebut serta senang kita terangkan kepada orang lain.

Dalam hal ini, satu perkara yang kita perlu sedar ialah sejauh mana kita dapat menguasai akan apa yang kita sebut itu. Hanya kita sendiri yang boleh menjawab persoalan ini. Dalam konteks persilatan, ramai yang boleh bersilat atau membuat gerak buah-buah Silat Cekak dengan cantik dan kemas. Akan tetapi mungkin tidak ramai ahli yang boleh memahami sebab dan akibat satu-satu gerak yang dilakukan itu. Mereka yang sebegitu hanya boleh ’membuat’ tapi tidak boleh ’menerang’. Kefahaman tidak sampai. Tidak faham akan tujuan gerak tersebut. Itu juga dinamakan sebagai, ”Ada kulit tapi tidak ada isi”.

Pada zaman dulu-dulu iaitu ketika awal perkembangan Silat Cekak, konsep kulit dan isi adalah menjadi satu fahaman yang sangat menebal dan dituntut fahamnya dalam kalangan penuntut. Kami sering diuar-uarkan dengan konsep tersebut dan hal yang demikian menjadi pendorong utama bagi menguasai persilatan Silat Cekak.Istilah-istilah lain yang sering diucap bersamaan dengan istilah kulit dan isi ialah ’sarung dan senjata, zahir dan batin, jasad dan roh. Malah, dalam tulisan Ustaz ditekankan juga istilah kulit dan roh silat.

Dalam buku ”Kebenaran Silat Cekak”, saya telah menyentuh tentang konsep kulit dan isi dalam konteks persilatan Silat Cekak. Itulah konsep yang sering kita gunakan bagi merujuk makna ilmu zahir dan ilmu batin dalam persilatan Silat Cekak. Hal yang demikian agak berbeza dengan kebiasaan yang ada dalam persilatan Melayu yang lain. Mereka lebih banyak menggunakan istilah zahir dan batin.

Kita mungkin mudah memahami akan makna penguasaan ilmu zahir atau penguasaan pelajaran secara kulit. Walau bagaimanapun, ilmu isi atau ilmu batin bukan mudah untuk digambarkan. Dalam masyarakat Melayu, istilah ilmu isi atau ilmu batin turut dikaitkan dengan ilmu megah, ilmu luar biasa atau ilmu yang mencarik adat. Kemenjadian ilmu tersebut tersangat susah untuk diukur. Hal yang demikian tentunya berbeza dengan ilmu zahir.

Dalam buku Kebenaran Silat Cekak, bagi memudahkan kefahaman kita pada konsep kulit dan isi, saya gambarkan secara kiasan. Memakan makanan yang berkhasiat tentu tidak sama dengan memakan bahan-bahan berbentuk makanan ringan. Tepung yang murah adalah ’kosong’ sifatnya. Manakala tepung yang mahal mengandungi pelbagai vitamin sebagai kandungannya. Kita juga biasa mendengar seseorang itu memberi ucapan yang panjang lebar. Malangnya ’tidak ada apa’ yang kita dapat. Cakap berdegar-degar, isi langsung tidak ada. Cakap kosong. Jasad akan terbujur kaku jika tidak ada rohnya lagi.

Seseorang pesilat itu hanya berada pada tahap pemahaman kulit sahaja jika dia tidak memahami tujuan geraknya itu. Maknanya, pengetahuannya hanya setakat menguasai gerak dua tangan dan dua kaki sahaja. Sifatnya adalah tidak sampai ke tahap penguasaan roh Silat Cekak itu sendiri. Penguasaan pada roh persilatan adalah merujuk pada kebolehan dan kemampuan pesilat itu untuk memahami sebab dan akibat dari setiap gerak yang dilakukannya. Penguasaan pada ilmu-ilmu tersebut perlu bersepadu dan perlu dititikberatkan.

Itu sebabnya apabila ada pesilat yang mempersoalkan kemenjadian gerak yang tidak tekal pada dirinya, maka jelas menampakkan tahap pemikiran dan kefahamannya setakat ilmu kulit sahaja. Atau, dia berasa ragu-ragu tentang penggunaan gerak silat dalam konteks dunia moden hari ini. Maka itu juga melambangkan kefahaman yang tidak memenuhi maksud penguasaan roh silat.

Sebagai pesilat yang sebenarnya, kita perlu menguasai ilmu kulit dan ilmu isi. Penguasaan ilmu-ilmu yang bersepadu itu adalah bagi melangkapkan diri sebagai ahli yang bertanggungjawab untuk menyebarkan ilmu Silat Cekak dalam kalangan masyarakat.

Sesungguhnya konsep ilmu zahir dan ilmu batin yang dibawa Ustaz dalam persilatan Silat Cekak amat jauh bezanya dengan konsep ilmu batin persilatan Melayu yang lain. Penguasaan ilmu-ilmu zahir dan ilmu-ilmu batin atau ilmu yang luar dari kebiasaan dalam persilatan kita adalah berdasarkan kefahaman; tidak bersandarkan hanya pada bacaan dan amalan. Konsep kedua-dua ilmu itu adalah bersepadu dan Ustaz menganjurkan hubungan atau ikatan erat dengan Tuhan. Hanya Allah yang maha berkuasa. Kita hanya boleh berusaha. Kemenjadian atas usaha tersebut adalah hak Yang Maha Berkuasa.

Dalam tulisan buku ini penekanan perbincangan saya ialah penguasaan ilmu pesilatan Silat Cekak itu sendiri. Perlu ditegaskan bahawa konsep ilmu persilatan itu adalah merujuk pada penguasaan ilmu zahir dan ilmu roh persilatan. Ilmu zahir dan ilmu batin. Untuk mencapai hasrat tersebut, terdapat banyak cara dalam pembelajaran silat kita. Dalam tulisan ini, untuk menguasai dan memahami kedua-dua ilmu itu boleh juga dilakukan melalui kefahaman pada ungkapan-ungkapan yang ada.

Banyak ungkapan yang ada dalam persilatan kita bagi menggambarkan prinsip penguasaan Silat Cekak. Saya hanya membincangkan sembilan belas ungkapan sahaja. Pemilihan ungkapan-ungkapan itu adalah berdasarkan kebiasaan penggunaannya dan sering dijadikan bahan dorongan dalam kalangan ahli untuk menguasai pelajaran Silat Cekak..

          Salah satu cara untuk menguasai persilatan Silat Cekak ialah fahami ungkapan-ungkapan tersebut. Saya telah bahagikan ungkapan-ungkapan itu berdasarkan kepada dua sifat. Pertamanya ialah mengenali sifat Silat Cekak dan keduanya ialah mengenali sifat yang sepatutnya ada pada diri kita atau sifat yang sepatutnya kita kuasai. Kefahaman pada kedua-dua sifat itu adalah secara bersepadu.

          Bagi memudahkan kefahaman tentang penguasaan Silat Cekak,  maka saya berpendapat kita perlu ada pemikiran yang terbuka. Orang yang berfikiran terbuka bermakna mempunyai daya fikir atau pendapat yang tidak tertutup atau terhad. Fikiran terbuka.Mereka senang menerima sesuatu pandangan sebab timbulnya sifat ingin tahu dalam kalangan diri mereka. Hal yang demikian akan mudah bagi seseorang itu meningkatkan ilmu pengetahuannya. Yang baik dijadikan teladan, yang tidak baik dijadikan sempadan.

          Bagi menjelaskan maksud penguasaan ilmu Silat Cekak, saya berpendapat ada tiga faktor utama yang akan membantu seseorang itu menguasai pelajaran Silat Cekak. Saya namakan faktor-faktor itu sebagai 3K iaitu Konsep, Kompeten dan Konteks.

A:      Konsep.

Sebagai pesilat, seseorang itu perlu menguasai pengertian atau idea yang mendasari sesuatu perkara itu. Dalam hal ini, hala tuju kita ialah penguasaan ilmu persilatan Silat Cekak. Oleh itu kita perlu faham akan makna segala-gala hal yang berkaitan dengan Silat Cekak.

          Untuk mengenali konsep-konsep yang ada mengenai Silat Cekak, terdapat 8 ungkapan seperti yang berikut.

Ungkapan Bagi Mengenali Konsep Silat Cekak.

  1. Silat Cekak bukanlah sejenis silat permainan seperti silat pulut atau silat pengantin, sebab itu tidak ada gendang dan tari menari dan melangkah ke kiri dan ke kanan.
  2. Pakai Tak Pakai. Tak Pakai Pakai.
  3. Pergerakan Silat Cekak adalah berdasarkan gerak semula    jadi.
  4. Silat adalah Gerak. Yang bergerak adalah dua tangan dan dua kaki. Yang bagi gerak ialah Yang Empunya Gerak
  5.   Makan Gerak Dalam Gerak
  6. Pelajaran Umum menajamkan gerak.
  7.  Silat Cekak Silat Papan Sekeping
  8. Silat Cekak Silat Akhir Zaman

B:           Kompeten

Pengetahuan sesorang tentang sesuatu konsep itu perlu diterjemahkan dalam diri sendiri. Maka lahirlah istilah kompeten. Istilah kompeten adalah merujuk pada kecekapan atau keupayaan seseorang untuk melakukan sesuatu itu dengan tepat, benar dan sempurna. Orang yang bersifat kompeten adalah layak memberi pendapat kerana dia bercakap atas kefahaman yang jitu. Cakap serupa bikin.

          Kecekapan dan keterampilan kita menguasai konsep-konsep tersebut adalah berdasarkan pada beberapa ungkapan yang saya gambarkan. Terdapat 11 ungkapan yang boleh meningkatkan kecekapan kita sebagai pesilat Silat Cekak. Ungkapan-ungkapan itu adalah seperti berikut.

Kopetensi Pengamal Silat Cekak.

  1.    Satu Gerak Dalam Kiraan Saat dan Ketika.
  2.    Sentiasa Berada Di belakang.
  3.    Awasi Tumpuan Mata.
  4.    Badan Umpama Raja.
  5.    Tangan Umpama Posmen, Senjata Umpama Surat.
    Sekat Posmen Maka Tersekatlah Surat.
  6.     Tangan Di Tempat Tangan, Kaki Di Tempat Kaki.
  7.     Habuan Sesak.
  8.      Guru Ibarat Kepala Keretapi Manakala Muridnya Adalah Umpama Gerabak      keretapi.
  9.       Ikut Rasmi Padi, Makin berisi Makin Tunduk.
  10.      Erti Kemerdekaan.
  11.      Kenali Kawan dan Lawan.

Kefahaman pada konsep dan kopetensi atau keupayaan menguasai konsep-konsep tersebut mestilah ada kebenarannya dalam konteks yang tertentu. Istilah konteks adalah merujuk pada keseluruhan keadaan atau latar belakang tertentu yang menentukan erti ungkapan yang terkandung di dalamnya. Maknanya, kita faham tentang konsep Silat Cekak, cekap dan dapat menguasai Silat Cekak adalah dalam konteks kita sebagai pengamal Silat Cekak iaitu ilmu warisan daripada Ustaz Hanafi.

          Saya tersangat yakin, jika kita dapat menguasai ketiga-tiga “K” tersebut bermakna kita berjaya menguasai persilatan Silat Cekak. Menguasai persilatan Silat Cekak adalah bermakna kita menguasai ilmu kulit dan ilmu isi atau ilmu zahir dan batin atau ilmu gerak fizikal dan ilmu roh silat.

           Kesimpulannya, untuk menguasai persilatan Silat Cekak, kita perlu memahami konsep, bersifat kompeten dan dapat membuat pengaplikasian dalam konteks kita sebagai pengamal Silat Cekak. Dalam bahasa yang mudah, kita perlulah faham, cekap dan boleh mengguna dan memberi penerangan akan ilmu serta kecekapan yang kita ada. Maka itulah namanya penguasaan ilmu zahir dan ilmu batin atau penguasaan gerak dan roh silat. Kalau zaman saya dulu-dulu ahli yang sebegitulah yang memenuhi sifat memiliki kulit dan isi atau sarung dan senjata.

          Ramai ahli yang kagum dengan Silat Cekak tapi diri sendiri tidak menguasai ilmu yang ada. Atau ahli itu boleh bercakap tapi tidak boleh melakukan gerak seperti mana yang dicakapnya. Atau, ahli itu faham dan cekap tapi gagal menyampaikan kefahaman dan kecekapannya. Atau ahli itu berasa ragu-ragu apabila geraknya tidak menjadi. Lebih parah lagi apabila diri ahli tidak yakin dengan pelajaran yang ada. Semua sifat itu adalah melambangkan penguasaannya hanya setakat kulit sahaja.

          Sebaliknya, jika ahli-ahli itu faham dan berupaya menjadikan dirinya cekap dan hebat penguasaan geraknya serta boleh membuat aplikasi atau menyampaikan ilmu tersebut maka bermakna dia berjaya menguasai kedua-dua ilmu zahir dan batin, gerak silat dan roh silat atau isi dan kulit atau sarung dan senjata.

          Dalam tulisan ini saya ketengahkan ungkapan-unglapan tersebut suoaya kita faham dan dapat menguasai gerak dalam konteks kita sebagai pengamal Silat Cekak. Insya-Allah barulah kita dikatakan berjaya menguasai persilatan Silat Cekak.

Sekian.

25.0. 6. ZON RIMAS – Pukulan Dalam Silat Cekak

Pukulan Dalam Silat Cekak.

 Pengalaman bersama Ustaz telah memberi pegangan buat diri saya betapa Silat Cekak amat mementingkan pukulan. Malah pukulan yang ada dalam Silat Cekak itulah yang membezakan Silat Cekak dengan silat-silat Melayu yang lain. Saya bercakap adalah melalui pengalaman berkecimpung dalam dunia persilatan Melayu

Jika kebiasaan silat-silat Melayu yang lain amat mementingkan tangkapan, Silat Cekak mementingkan pukulan,. Oleh itu, pukulan adalah merupakan suatu kelebihan yang ada dalam Silat Cekak. Berdasarkan pengalaman saya, Ustaz selalu memberi penekanan pada gerak pukulan yang ada dalam persilatan Silat Cekak.

Hal yang demikian jugalah yang menyebabkan saya amat menitikberatkan pukulan dalam proses saya menyampaikan ilmu Silat Cekak pada anak didik saya. Bukan ada bukti bertulis kata-kata Ustaz itu pada saya. Orang lain susah nak percaya. Tapi saya anggap itulah dia Silat Cekak. Tidak hairanlah dalam majlis penamat ada satu petua mesti yang diberi Guru Utama pada anak-anak muridnya. Petua itu dikenali sebagai pukulan sejengkal.

Zaman saya dulu-dulu ada dua jenis petua yang semacam mesti diberi pada para penuntut. Satu kebiasaan. Pertamanya petua pergerakan tangan dan kaki semasa ijazah permulaan dan keduanya ialah petua pukulan sejengkal pada ijazah terakhir.

Maknanya, penutup petua ialah pukulan. Hal yang demikian juga memberi makna betapa pentingnya pukulan dalam pelajaran persilatan Silat Cekak. Buktinya, petua pukulan diberi pada penuntut yang telah tamat. Apa guna bersilat kalau tak rerti nak pukul. Itulah agaknya falsafah yang ada di sebalik pemberian petua pukulan sejengkal itu.

Atas faktor kehebatan pukulan, teknik dan taktik yang mantap dalam kaedah serangan dan kaedah menunggu serta beberapa kelebihan lain yang ada dalam Silat Cekak, maka telah menarik perhatian saya untuk mempelajari, mendalami dan memberi tumpuan pada pelajaran Silat Cekak. Saya mampu berbuat demikian berdasarkan perbandingan dengan pengalaman saya bersilat dalam persilatan Melayu yang lain.

Berbalik pada kelebihan pukulan yang ada dalam Silat Cekak. Tidak hairanlah jika pengertian Silat Cekak itu sendiri dikaitkan dengan gaduh. Seperti yang selalu kita uar-uarkan ketika berkempen buka kelas, CEKAK dalam bahasa Minangkabau disebut CAKAK bermaksud GADUH. Jadi Silat Cekak adalah silat gaduh bukan silat tari atau pulut. Silat ini sesuai digunakan dalam pergaduhan sebenarnya.”

 Tersangatlah sesuai pengertian Cekak itu jika dikaitkan dengan sifat pukulan yang sangat dititikberatkan dalam pembelajarannya. Gerak pukulannya adalah ringkas, berbanding dengan gerak kuncian. Walaupun buah-buah kita ada kunciannya tapi segala-galanya bermula dari pukulan. Itulah gerak ringkas yang juga diistilahkan pada makna Cekak.

         Ramai yang suka bercakap dan meletakkan kehebatan Silat Cekak di habuan mulut. Tidak ada rasa untuk mempraktikkan pukulan dalam setiap perbuatan gerak dengan sepenuh hati. Kalau sesuai dengan gaduh, maka binalah gerak pukulan sebenarnya dalam kalangan penuntut agar Silat Cekak yang diajar adalah selari dengan hasrat yang diungkapkan. Hatta dalam pertunjukan Silat Cekak sekalipun. Buktikan pukulan dan bukannya sentuhan. Penumbuk yang datang, kita sambut dengan pukulan pukal. Bukannya sentuhan pukal.

Tapi ada juga yang menyimpang. Hinggakan, penumbuk yang datang, mereka alu-alukan dengan tabit spring. Terutamanya buah Ali Patah Sudah. Mungkin kenyataan saya ini tidak menyenangkan beberapa pihak. Lantaklah. Perkara penting ialah saya hanya menerangkan pengalaman saya belajar dulu-dulunya. Pada orang lain, nak ikut, ikutlah. Tapi pengertian Silat Cekak di atas telah menjelaskan tentang perbezaan antara Silat Cekak dengan silat tari dan silat pulut. Apa yang berbezanya, pasti ada kaitan dengan pembawaan diri Jurulatih yang menyampaikan ilmu.”Awww”.

Zaman saya dulu-dulu, tidak ada isu berkaitan pukulan. Maknanya, semua Jurulatih dan semua ahli dan semua pihak menerima kepentingan pukulan dalam Silat Cekak. Malah susunan pelajaran Silat Cekak amat cantik dan tersusun dengan bentuk-bentuk pukulannya. Amat menarik perhatian saya sebagai penuntut Silat Cekak dulunya.

Dalam tulisan ini, saya akan nyatakan semula perasaan saya ketika mula-mula mempelajari Silat Cekak. Sesaja terkenang kisah-kisah lama. Boleh kongsi pengalaman dengan para pembaca.

Setelah kami diperkenalkan dengan pelajaran Kaedah yang empat maka buah Pertama diperturunkan dalam keadaan kami tertanya-tanya akan bentuk geraknya. Ketika pelajaran Kaedah, ramai juga antara kami yang mencebik. Lebih-lebih lagi pada ahli-ahli yang telah ada latar belakang silat yang lain. Mereka berasa pelajaran kaedah amat memboringkan. Ketika bersilat, sudahlah mulut diam membisu, badan pula terpaksa diam membatu. Hanya tangan yang bergerak bagi menepis gerak. Ketika bergiat dalam persilatan yang terdahulu, terasa meriahnya. Terasa bersemangat.

Empat Kaedah terpaksa dilatih dalam empat kali latihan. Amat membosankan. Kaedah A dianggap perbuatan tampar nyamuk. Kaedah B ada logiknya sikit. Masuk Kaedah C lagi tak logik. Mana ada orang tumbuk bawah kecualilah jika berkuda-kuda. Kaedah D bolehlah. Tidak hairanlah jika ada kelas-kelas yang menghimpunkan pemberian Kaedah sebayak mungkin bagi mengatasi masalah jemu tersebut.

Pada kami yang ada latar belakang silat, kurang nampak faedah pada gerak Kaedah tersebut. Itulah perasaan kami ketika menuntut dulunya. Namun begitu, apabila kami diperkenalkan dengan buah Pertama, baru sedar akan kepentingan pelajaran Kaedah. Rupa-rupanya Kaedah A yang menampar nyamuk amat besar gunanya. Dengan kejutan pada buah Pertama terasa kepentingannya. Semua kami yang belajar Silat Cekak ketika itu berasa tersangat kagum.

Ustaz menunjukkan pukulan di rusuk. Bukan setakat itu sahaja. Ustaz juga menunjukkan pukulan secara jari dilipat. Wow! Sungguh menyakitkan. Tapi tidaklah sampai patah tulang rusuk. Ingatkan telah habis. Ustaz tunjuk lagi pukulan secara mencucuk jari di celah ketiak. Sekali lagi. Wow! sakitnya.

Maka barulah kami faham betapa hebatnya Silat Cekak. Kaedah yang disangka lembab tapi buah pukulan pada buah Pertama terasa hebatnya. Secara peribadi, baru saya dapat menjiwai makna kehebatan Kaedah.

Untuk buah kedua iaitu Gayung Fatani, kami berasa suspen. Apa pulak jenis pukulannya. Takut pun ada. Tapi lain jadinya. Kami ditenangkan dengan cara mengambil buah Gayung Fatani. Tak ada pukulan. Tapi  ada  pengenalan Kaedah baru. Itulah Kaedah gelek namanya. Maka jiwa kami tenang semula apabila diperkenalkan dengan latihan buah tersebut.

Apabila kami belajar buah berikutnya iaitu Sendeng Atas, ketenangan kami ditarik semula. Rupa-rupanya, dalam Silat Cekak kami diasuh supaya jangan mudah berasa selesa. Gerun datang semula. Akan tetapi gerun itu agak kurang sebab gerun yang utama telah dirasai ketika buah Pertama. Buah-buah selepas Sendeng Atas tidak mendatangkan apa-apa suspen lagi. Semuanya telah terbiasa. Boleh menghadapi kemungkinan apa saja.

Begitulah hebatnya susunan buah yang telah dibentuk Ustaz. Kita boleh bayangkan sendiri jika buah Pertama disampaikan sambil lewa. Saya rujuk pada kelas saya dulunya. Pelajaran Kaedah amat membosankan. Kalau buah Pertama tidak menampakkan kelebihan, tentu lagi membosankan. Kalau kena pukulan secara buka tangan maka kami tidak akan nampak apa-apa kelebihan Silat Cekak. Hanya sesuai dengan peserta inang. Hasil pukulan pastinya mendendangkan bunyi awww. Bukannya Wow.

Zaman dulu-dulu gerak pukulan tersangat diberatkan. Saya tidak pernah nampak atau mendengar mana-mana Jurulatih yang menyampaikan buah-buah secara mengabaikan pukulan. Tidak pernah ada pun pukulan pada buah Pertama secara buka tangan atau pukulan Kidung Kiri secara tepukan. Sepatutnya tetakan. Begitu juga dengan gerak-gerak yang lain.

Malah, ada pula dalam kalangan Jurulatih yang menambah pukulan.Misalnya buah Kidung Kiri. Mereka menambah pukulan siku pada rusuk pasangan. Niatnya, pukulan siku itu dikatakan boleh mematahkan tulang rusuk. Itulah gerak pukulan khayalan. Saya tidak pernah ikut sebab Ustaz tak pernah ajar di kelas kami. Ada satu ketika saya suruh orang lain buat pukulan siku itu pada saya. Sahlah jeritan saya. Awww. Geli. Terpaksa dilentikkan badan. Nampak seksi. Baru ada jeritan wow!. Jeritan wow bukannya kerana sakit tapi kerana gerak yang seksi. Tapi apa-apa pun masa mula-mula kena sentuhan tetap terlaung awww.

Pada zaman dulu, yang membezakan pukulan-pukulan dalam kalangan Jurulatih atau ahli-ahli ketika latihan ialah tahap atau kekuatan pukulan itu sendiri. Saya selalu dicap sebagai Jurulatih yang tidak boleh brek pukulannya. Kata slow tapi pukulannya semacam. Itulah rungutan yang kedengaran.

Perkara yang merimaskan saya ialah apabila mereka menghubungkan sifat saya itu dengan pelajaran silat yang saya pelajari sebelumnya. Hinggakan terbit kata-kata.”Dia tu cuba nak masukkan cara gayung.”

Saya diam sahaja. Rimas. Itulah cakap-cakap orang yang tak rerti dan sifat orang dengki. Pada saya, gerak pukulan dalam Silat Cekak adalah jelas. Kelebihan Silat Cekak terletak juga pada pukulannya. Oleh itu gerak pukulan perlu diberi pemberatan dan perlu dipandang serius. Jangan main-main dengan kelebihan tersebut. Jangan ambil mudah. Barulah bermakna kita belajar Silat Cekak.

Sebab itulah saya suka buat betul-betul. Pada saya, mereka tidak faham maksud kelebihan Silat Cekak yang terletak pada pukulan. Mana mereka ada pengalaman bersilat selain dari Silat Cekak. Maka pada saya juga sebab itulah mereka tak rerti-rerti. Jangan marah akan kebodohan dan kesombongan mereka itu. Baru saya rasa senang hati.

Apabila saya meninggalkan pusat berhijrah ke cawangan, baru terdengar pelbagai perubahan telah berlaku. Salah satu perubahan itu ialah dari segi pukulan pada buah Pertama. Penuntut disuruh buka tangan ketika membuat pukulan di rusuk. Itulah yang saya namakan sebagai pukulan Awww. Ketika saya di pusat iaitu di Kuala Lumpur, tidak pernah timbul pelajaran  bercorak sedemikian. Kalau ada pasti saya tidak menjadi hairan. Tapi seingat saya, apabila saya balik ke cawangan baru ada pukulan yang sedemikian.

Bila ditanya penuntut tentang masalah itu, saya memberi pandangan. Masa pengganti Ustaz, kekuasaan orang-orang kanan tersangat hebat sekali. Mereka suka buat pelarasan. Saya rasa, merekalah yang pandai-pandai mengubah cara pukulan yang sedemikian. Alasannya takut patah tulang rusuk. Deme ingat mudah sangat mematahkan tulang rusuk orang. Secara psikologi, saya anggap perbuatan mereka itu ada pelbagai sebab dan tujuan.

Pertamanya mungkin untuk membuktikan bahawa pukulan itu berbahaya. Oleh itu kena buat propoganda akan kelebihannya. ”Jangan main-main. Pukulan buah Pertama boleh mematahkan rusuk.” Untuk menepati propoganda mereka itu maka dibukalah tangan untuk melambangkan bahayanya gerak pukulan.

Mungkin yang lain ialah memang ada niat untuk mematahkan tulang rusuk. Hati perut busuk. Kalau pukulan biasa mana boleh patah tulang rusuk. Sebaliknya jikalau ada niat hendak mematahkan tulang rusuk barulah hentakan tumbuk pada rusuk akan dibuat berganda-ganda peratusannya. Baru boleh patah. Oleh sebab ada niat itu maka dibukalah tangan tersebut.

Mngkin lagi ialah Jurulatih yang mengajar adalah jenis Awwwww. Maka tersangatlah  dia suka akan bunyi aww. Bunyi tersebut akan ada jika disentuh melalui telapak tangan. Cuba kita usap seseorang dengan telapak tangan. Pasti akan berbunyi Awwwwww. Satu kepuasan.

Akhirnya mungkin juga menghormati tulang rusuk yang dianggap telah lemah. Dikatakan kejadian kaum hawa adalah dari tulang rusuk. Sebagai menghormati tulang rusuk tersebut maka perlulah sentuhan, bukannya tumbukan. Agaknya.

Semua teori itu adalah agakan saya sahaja. Sebab pelik kemenjadiannya. Biasanya ramai juga golongan yang mengatakan gerak pukulan sebenarnya dianggap sebagai kasar dan berbahaya. Malas nak jawab. Gasaklah engkau Labu.

Walau bagaimanapun, kalau tugas Jurulatih berkonsepkan mengajar, tentu berbeza dengan tanggungjawab yang berbentuk pandu. Saya selalu bercakap tentang konsep memandu dalam Silat Cekak. Itulah penekanan yang diberi Ustaz. Orang yang mengamalkan konsep memandu, akan mendidik secara hikmah. Tunjuk ajarnya bertujuan membangunkan kebolehan penuntut berkenaan. Bukannya bersifat nafsu kemegahan.

Setiap gerak akan dihuraikan atas alasan sebab dan akibatnya. “Kenapa kita buat macam ni. Kenapa kita tak buat macam tu.” Maka secara langsung wujudlah budaya berfikir dalam kalangan penuntut. Menerima buah secara bukti yang sah. Pukulannya ikhlas untuk membuktikan hebatnya Silat Cekak.

Berbeza dengan konsep mengajar. Orang yang mengajar mengaggap dirinya lebih daripada yang lain. Mereka inilah golongan yang boleh memiliki sifat baran dan tidak mudah berbincang. “Ikut saja. Jangan banyak tanya.”

Tidak hairanlah, semasa Ustaz menyampaikan pelajaran Silat Cekak pada kelas saya dulupun, pukulan amat dititikberatkannya. Kalau buah Pertama, pemakannya bukan setakat genggam penumbuk. Itu perkara biasa. Tangan yang dibuka keseluruhannya adalah untuk mencucuk bahagian di bawah ketiak. Ditunjuknya juga tangan yang terbuka tapi jari dilipat untuk memakan rusuk. Penggunaan tapak tangan tak pernah wujud pun sama ada untuk memukul atau menepuk. Pada hal kami semua adalah penuntut. Tidak ada siapa pun yang tercedera.

Kerana Ustaz mementingkan pukulanlah juga menyebabkan kami merasa pandangan hitam akibat pukulan Lintau, kaki yang ‘lembik’ akibat pukulan Kidung dan sebagainya. Tak kenal maka tak cinta. Hal yang demikian telah menyebabkan kami semakin bersemangat dan yakin untuk mendapatkan ilmu Silat Cekak yang nampak sangat bersifat keluarbiasaannya.

Pengalaman tersebut tetap saya jadikan pegangan pesilatan hingga sekarang. Selalu saya ingatkan. Pentingkan pukulan secara segerak. Itulah salah satu keistimewaan Silat Cekak yang tidak ada pada persilatan Melayu yang lain. Jangan pandang ringan. Tapi ada juga yang memandang sinis. Nak buat macam mana. Pandangan juling. Macam juling itik balik ke kandang. Tidak ada fokas.

Mungkin kita boleh berbincang akan situasi yang berlaku itu. Setelah kita berpecah pada gelombang pertama, Guru Utama kita pernah menyentuh tentang soal perbezaan pendapat tentang buah-buah Silat Cekak dalam ucapan dasarnya pada 1 Muharam 1411. Saya petik sedutan ucapan beliau dalam majlis perjumpaan tenaga pengajar Silat Cekak tersebut.

“….Kadang kala ada satu buah yang dibuat berlainan cara tangkapan dan pergerakan kakinya. Perbezaan ini bukannya perbezaan pokok kaedah sesuatu buah itu. Perkara ini berlaku kerana di masa Allahyarham memberinya kadang-kadang berbeza mengikut tempat dan masa. Namun pun begitu perkara ini pernah dibincangkan dengan Allahyarham di dalam kursus-kursus Jurulatih dan beliau telah membuat keputusan tentang cara bagaimana yang perlu diutama dan diresmikan. Perkara-perkara ini semua telah direkod dan dimasukkan di dalam buku panduan pengajaran dan diberitahu di dalam kursus-kursus yang diadakan. Oleh yang demikian sekiranya ada di antara saudara saudari yang tidak berkesempatan mengikuti kursus Jurulatih tersebut, janganlah menganggap bahawa cara yang ditunjukkan sekarang di dalam buku panduan ataupun di masa kursus-kursus itu adalah tidak betul. Saudara dan saudarilah yang perlu mengikut cara yang telah diputuskan itu. Dengan cara ini sahaja kita dapat menseragamkan kaedah-kaedah pengajaran Silat Cekak supaya apa yang didapati oleh jenerasi-jenerasi baru adalah sesuatu yang asal dan yang terbaik.”

 Petika itu memberi makna bahawa pelarasan buah telah dilakukan di zaman Ustaz. Ketika itu Ustaz telah menetapkan bentuk-bentuk gerak yang telah diselaraskan. Mana-mana pelarasan yang bersifat untuk semua maka telah dicatat dan dijadikan gerak putus.

Saya tidak nafikan mana-mana pelajaran yang Ustaz beri secara individu maka tidak sah untuk dijadikan gerak umum. Termasuk gerak-gerak yang saya terima secara peribadi. Misalnya pukulan pada buah Kunta Kiri. Ustaz menerangkan bentuk pukulan hanya untuk diri saya seorang. Maka saya tidak cuba menjadikan pukulan tersebut sebagai pelajaran untuk semua. Cuma ketika kelas kemahiran barulah saya timbulkan gerak tersebut. Hal yang demikian kerana pukulan yang Ustaz beri itu adalah untuk peribadi saya sahaja.

Hakikatnya, selepas pemergian Ustaz, terdapat banyak majlis pelarasan. Semuanya dilakukan orang-orang kanan yang berkuasa. Hinggakan Guru Utama berasa terkecewa. Mana saya tahu. Sebabnya Guru utama sendiri yang menceritakan pada saya. Orang-orang kanan ini membuat pelarasan tanpa merujuk Guru Utama. Zaman Pak Ak.

Pelajaran buah telah  diatambah menjadi 21. Terdapat Buah Luncur dan Siku Potong. Kemudian muncul lagi Gerak Hanafi. Banyak lagi. Apa pun, pukulan awww semakin berleluasa. Semuanya dengan sjfat progoganda. Jangan buat. Bahaya.

Persembahan bercorak hiburan dan pertandingan persembahan telah memberi impak besar pada teknik membuat pukulan. Saya tidak mahu mengulas panjang. Perkembangan yang berlaku itu amat merimaskan saya selaku ahli yang telah lama berkecimpung dalam persilatan Silat Cekak.

Saya boleh nampak akan perbezaan yang timbul dari masa ke masa. Bukan tugas saya untuk menyatakan buruk dan baiknya. Cuma saya hanya membandingkan apa yang saya pelajari dulunya dengan apa yang ada sekarang. Buat menambahkan pengetahuan dan meluaskan pemikiran pembaca.

Mungkin perubahan itu perlu kerana sesuatu yang dikatakan maju itu mesti ada perubahan. Apapun alasannya, sebagai generasi lama elok juga saya nyatakan pengalaman saya dulunya. Buat pengetahuan saja. Jangan kata saya cari pengaruh. Pengaruh apa. Dah tua. Berehat lebih baik.

 

Sekian.

25.0. 5. ZON RIMAS

 Pengorbanan Ahli Persilatan atau Persatuan.

           Dalam tulisan-tulisan yang lalu, saya sering membezakan antara ahli persatuan dengan ahli persilatan. Malah, dalam buku yang baru diterbitkan, saya juga menggunakan istilah guru persilatan dan guru persatuan. Sesuatu yang berkaitan dengan persilatan, tentunya berbeza dengan persatuan. Maka maknanya, ahli yang cenderung pada persilatan, tentunya amat berbeza dengan ahli-ahli yang mempunyai kecenderungan pada persatuan.

Dalam tulisan ini saya akan membincangkan tentang sifat-sifat yang ada dalam kalangan ahli yang cenderung pada persatuan yang saya gelar ahli persatuian dengan ahli-ahli yang cenderung pada persilatan yang saya gelar ahli persilatan. Sesungguhnya perwatakan, sifat dan peranan mereka dalam kegiatan silat kita adalah sangat berbeza. Walau bagaimanapun, kita perlu akui hakikat akan kekecualian dalam sifat-sifat tersebut. Ada dalam kalangan ahli yang aktif dan berminat dalam kedua-dua bidang tersebut. Penglibatan mereka adalah seimbang. Oleh itu sifat dan perwatakan mereka juga adalah seimbang.

Kalau ditanya saya akan kecendunran saya maka dengan tegas saya katakan bahawa sifat saya adalah mirip kepada ahli persilatan. Saya amat mementingkan persilatan berbanding dengan persatuan. Pada saya, persatuan hanyalah alat untuk menggerakkan persilatan. Silat tidak boleh bergerak tanpa ada persatuan. Oleh itu silat adalah perlu diberi keutamaan. Manakala persatuan hanya digunakan untuk menggerakkan persilatan. Walau bagaimanapun saya berpendapat bahawa keutamaan pada kedua-dua bidang itu tetap ada. Cuma, pemberatannya agak berbeza. Persatuan didahulukan, persilatan diutamakan. Itulah kefahaman saya sejak dulu lagi.

Saya tetap tidak mengenepikan mereka yang terlampau menumpukan perhatian pada persatuan. Ada juga gunanya. Mereka akan dapat memantapkan pengurusan organisasi persatuan. Namun begitu sebagai pemimpin cawangan, penglibatan dan sumbangan mereka dalam persilatan sangat-sangat saya titikberatkan. Saya sentiasa pastikan anak didik saya dapat menyeimbangkan penglibatan dan minat mereka pada persilatan dan persatuan.

 

Walau bagaimanapun, zaman saya di peringkat pusat, amat ketara akan perbezaan peranan dalam persilatan dan persatuan.Saya dapat saksikan sendiri jurang antara ahli yang berminat dengan persilatan dan persatuan. Nampak sangat akan perbezaan sifat mereka itu. Hal yang demikianlah amat merimaskan saya satu ketika dulu.

Dalam tulisan ini, cuba kita bincangkan akan sifat-sifat mereka berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya. Itulah sifat mereka dulu-dulu. Saya tidak pasti adakah sifat-sifat tersebut masih wujud dalam kalangan ahli yang ada sekarang. Apakah ketika ini konsep ahli persatuan dan ahli persilatan masih wujud perbezaan sifat seperti dulu-dulu. Saya tidak dapat menjawabnya. Mungkin melalui pembacaan tulisan ini, generasi pembaca yang ada sekarang boleh membuat perbandingan dan kesimpulan sendiri. Saya hanya menceritakan pengalaman suasana di zaman saya dulunya yang amat merimaskan saya sebagai ahli yang berminat dengan persilatan Silat Cekak.

Kayu ukur yang saya gunakan untuk membezakan antara ahli persilatan dan ahli persatuan adalah berdasarkan pada kegiatan mereka dalam silat itu sendiri. Sifat mereka ini hanya terserlah setelah mereka tamat silat. Penglibatan mereka seterusnya adakah kerana silat atau kerana persatuan. Inilah yang akan menentukan sifat mereka sama ada bergelar ahli persatuan atau ahli persilatan.

Maknanya selepas tamat silat, ramai kalangan ahli yang terus bergiat dalam Silat Cekak. Di sinilah mereka akan berpecah dua cabang minat sama ada minat pada silat atau minat pada persatuan. Kedua-dua minat ini akan membentuk sifat peribadi mereka secara langsung. Saya boleh nampak akan perbezaan sifat tersebut. Cuba kita bincangkan di sini sifat-sifat tersebut yang terkesan dulunya. Zaman saya dulu-dulunya.

i.   Kegiatan

Seperti yang saya tegaskan, setelah tamat silat, ahli yang ingin meneruskan keberadaan mereka dalam persatuan akan bercabang dua. Ada ahli yang amat berminat dengan silat. Mereka akan dilantik sebagai tenaga pengajar. Pada pemulaannya, mereka akan menjadi pembantu tenaga pengajar sebelum disahkan pelantikan sebagai Jurulatih. Penglibatan mereka dalam kegiatan silat adalah amat ketara. Mereka akan sentiasa turun padang. Tiap-tiap kali latihan silat di kelas, akan ditunai tanggungjawab dengan penuh kesedaran.

Apa yang saya dapat perhatikan, ahli yang berminat dengan persatuan akan menumpukan lebih banyak perhatian dalam aktiviti persatuan. Mungkin mereka akan menjadi salah seorang ahli jawatankuasa yang terbentuk atau sebagai ahli yang aktif dalam kegiatan persatuan. Kalaupun ada dalam kalangan mereka yang dilantik sebagai pembantu tenaga pengajar, komitmen mereka dalam persilatan amat kurang berbanding dengan komitmen mereka dengan persatuan.

Oleh sebab itulah mereka jarang-jarang turun padang. Jarang mengajar silat walaupun ada jadual latihan. Maknanya, mereka kerap ponteng dari mengajar silat. Hal-hal yang berkaitan dengan pembelajaran dan pengajaran persilatan, lambat tindakannya. Hal; yang demikian adalah berbeza jika berkaitan dengan persatuan. Mereka akan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

ii.  Perayaan persatuan

Kalau ada perayaan persatuan, peranan mereka akan membezakan minat mereka. Ahli yang berminat dengan persatuan akan memunculkan diri. Mereka bergerak aktif untuk menganjurkan majlis berkenaan. Nampak akan kesibukan mereka bekerja.

Kalau mereka tidak ada jawatan, apabila ada program persatuan maka barulah nampak muka. Mereka akan ambil kesempatan. Dalam majlis tersebut, mereka akan duduk di barisan depan. Bertindak sebagai tetamu yang dihormati dalam persatuan.

iii.   Hubungan

Ahli yang berminat dengan silat akan memupuk hubungan yang lebih akrab dengan rakan-rakan ahli yang lain berdasarkan rakan sepersilatan. Hubungan mereka lebih bertunjangkan silat. Mereka tidak terikat dengan peraturan persatuan dalam hubungan tersebut. Hal yang demikian menjadikan hubungan mereka sesama ahli adalah mesra.

Keadaan yang sedemikian tentunya berbeza dengan ahli-ahli yang berminat dengan persatuan. Kebiasaannya mereka mempunyai protokol dalam hubungan dan layanan. Kalau mereka ada jawatan maka mesti layan mereka sebagai penjawat jawatan tersebut dalam persatuan. Kalau tidak ada jawatan maka layanan sesama ahli masih lagi berdasarkan peraturan persatuan yang ada. Misalnya peraturan dalam satu-satu mesyuarat.

iv.  Tindakan

Ahli yang berjawatan persatuan akan cuba sesuaikan tindakan mereka pada peraturan persatuan. Segala kesilapan ahli adalah merujuk pada peraturan  persatuan. Kalau peraturan tidak membenarkannya maka tindakan ahli yang bertentangan akan diambil tindakan. Silap sikit kira nak ambil tindakan. Golongan i nilah yang suka pada konsep singkir-menyingkir dari persatuan. Apabila diri cenderong pada persatuan maka tindak tanduk mereka adalah berpegang pada peraturan persatuan.

Saya tidak mahu mengulas buruk atau baiknya tindakan yang sedemikian. Pasti ada buruk dan baiknya. Cuma, tulisan ini adalah berdasarkan kenyataan yang ada dulunya. Kadang kala keadaan itu amat merimaskan.

Hal yang demikian menjadikan mereka sentiasa berasa curiga dengan rakan-rakan ahli yang lain. Keadaan ini terjadi kerana kegiatan berpasatuan erat kaitannya dengan kuasa. Orang yang berkuasa akan sedaya upaya untuk menunjukkan kuasa dan berusaha untuk mengekalkan kuasanya. Jika kuasanya terancam maka dia akan membuat tindakan. Maka tidak hairanlah jika ramai yang ahli yang menjadi mangsa kepada penyingkiran. Semuanya gara-gara mendapatkan kuasa atau mengekalkan kuasa.

Dalam masa pepecahan yang lalu saya dapat perhatikan gejala tersebut. Mereka yang berminat sangat dengan usaha-usaha penyingkiran guru bukanlah terdiri dari ahli-ahli yang komited dengan persilatan. Golongan ini bersilatpun tidak berapa cekap. Tidak nampak komitmen mereka dalam persilatan. Mengajar silat jauh sekali. Menjenguk muka dalam kelas-kelas latihan silat boleh dibilang dengan jari. Sekali sekala sahaja menjengok muka dalam kelas-kelas latihan silat.

Masa banyak diberi pada kegiatan persatuan. Bila ada akitiviti persatuan maka merekalah yang maju ke depan. Hubungan dengan ahli-ahli lebih bercorak formal. Jika ada dalam kalangan ahli tidak mengikut peraturan, mereka boleh melahirkan perasaan baran. Maklumlah ada kuasa persatuan. Inilah golongan yang suka pada pepecahan. Tidak mempedulikan perasaan ahli atas nama peraturan persatuan. Kadang kala mereka tidak boleh bertolak ansur langsung.

Oleh sebab mereka sukakan kuasa dan pengurusan persatuan maka kegiatan silatpun cuba diurus. Saya pernah menulis tentang asal usul wujudnya jawatan Penyelia Kelas. Konsep penyelia kelas adalah bermaksud pengawalan pada kegiatan persilatan. Mana perginya Jurulatih. Sepatutnya hal-hal yang berkaitan dengan silat adalah tanggungjawab Jurulatih yang merupakan wakil guru. Manakala hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan kelas silat boleh dilakukan oleh ahli jawatankuasa persatuan. Tidak ada keperluan sebenar pada jawatan baru penyelia kelas. Namun begitu minat pada persatuan bermakna perlu juga ada kuasa tertentu dalam bidang persilatan. Baca balik blog saya dalam Seni Gedang.

Ahli yang berminat dengan persilatan, lebih bertanggungjawab pada adat dan adab yang ada. Lebih-lebih lagi hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan guru. Dalam pesilatan, guru mesti dibela dan dipertahankan sepanjang masa. Tidak ada guru mana mana ada persilatan. Sebaliknya, jawatan presiden adalah berkaitan dengan persatuan. Presiden sendiri akan terikat dengan peraturan persatuan. Hal yang demikian menjadikan peraturan persatuan akan sentiasa diguna pakai dalam pengurusan silat dari masa ke masa.

Sebenarnya, zaman dulu-dulu, hal yang demikian juga adalah amat merimaskan saya. Orang yang bergiat dalam persatuan amat pandai bermuka-muka. Kegiatan mereka menampakkan seolah-olah merekalah tunjang utama pada persatuan. Seolah-olah juga merekalah yang memainkan peranan untuk menentukan masa depan persilatan. Sungguh merimaskan saya.

Cuba kita singkap kembali pepecahan dalam gelombang pertama dan kedua. Watak yang memainkan peranan dalam pepecahan itu kebanyakannya adalah ahli-ahli yang tersangat mementingkan persatuan. Paling dekat dengan kita ialah pepecahan dalam gelombang kedua. Watak Lan dan Li bukanlah aktif dalam silat. Namun begitu mereka mendakwa bahawa peranan mereka tersangat hebat bagi menentukan masa depan silat. Hinggakan guru mereka sendiri sanggup diketepikan.

Begitu juga dengan watak-watak lain yang tidak perlu saya sebutkan nama. Maka tidak hairanlah apabila mereka memegang kuasa maka Silat Cekak itu sendiri dirobak-robek sesuka hati. Saya katakan begitu berdasarkan dua perkara. Pertamanya mereka tergamak menutup kelas-kelas Silat Cekak yang tidak sehaluan dengan mereka. Kerana peraturan persatuan maka silat yang utama telah dikurbankan. Keduanya mereka berupaya mengubah rupa bentk persilatan Silat Cekak. Pelarasan yang diadakan semata-mata demi kepentingan diri. Tak ada langsung perasaan sayang pada ketulenan silat yang diamanahkan Ustaz.

Dalam kalangan persatuan-persatuan di peringkat negeri, pada zaman saya masih berlaku perebutan kuasa. Demi minat yang mendalam dalam pengurusan persatuan, mereka tergamak menfitnah dan mengadu domba sesama ahli bagi mencari pengaruh. Itulah lumrah yang berlaku di zaman saya. Perkara pentingnya ialah memperoleh kuasa. Apabila kuasa dipegang maka silat diurus berdasarkan kuasa yang ada.

Alhamdulillah hal yang demikian terkawal di cawangan saya. Saya jaga betul-betul watak yang ada dalam kalangan anak didik saya. Cuma, ketika itu saya banyak mendengar pelbagai cerita dari cawangan-cawangan lain. Rebut kuasa. Oleh sebab perebutan kuasa juga menjadikan ada dalam kalangan ahli-ahli yang berjasa, akhirnya tersingkir begitu sahaja.

Daripada apa yang saya faham, banyak penjelasan yang boleh saya simpulkan. Kebanyakan mereka yang terlibat dalam sengketa, tidak banyak komitmennya dalam bidang silat itu sendiri. Buka kelas baru, jauh sekali. Nak buka kelas baru macam mana. Kelas yang sedia ada pun tidak diberi perhatian utama dalam proses menurunkan ilmu persilatan. Malas mengajar silat dengan alasan sibuk. Perkara penting bagi mereka ialah mengurus silat. Sungguh merimaskan saya.

Itu sebab agaknya Silat Cekak tidak ada penaung pada zaman dulu. Saya pernah menyentuh hal yang demikian dalam tulisan yang lalu. Ustaz pernah memberitahu saya tentang syarat yang dikenakan. Orang yang ingin melibatkan diri dengan persatuan Silat Cekak mestilah pengamal Silat Cekak sendiri. Dalam persilatan kita tidak ada maksud ahli kehormat atau sebarang bentuk ahli melainkan ahli Silat Cekak yang mesti mempelajari dan tamat pelajaran Silat Cekak.

Kalau diaplikasikan pada makna persatuan, mereka yang berjawatan persatuan mesti juga hebat persilatannya. Mesti sentiasa turun padang. Mengajar silat tanpa tuang. Barulah ada semangat pada perjuangan. Barulah terpupuk makna perpaduan. Itulah sumpah silat yang hanya memberi makna kepada ahli-ahli yang komited dalam silat. Hanya orang yang berminat dengan silat sahaja yang sentiasa mematuhi adat dan adab bersilat. Sekian.

25.0. 4. ZON RIMAS

ii.   Syarat Menjadi Guru.

Lama saya tidak menulis dalam blog ini. Hal yang demikian kerana saya telah menumpukan perhatian pada penerbitan dua buah buku lagi tentang persilatan Silat Cekak. Sebuah buku telah siap diedit dan sebuah lagi dalam proses susunan. Saya tersangat berharap agar penerbitan buku-buku tersebut akan memberi sumbangan besar pada kefahaman dan pengetahuan ahli-ahli tentang persilatan Silat Cekak.

Buku yang telah siap adalah mengenai asal usul dan perkembangan Silat Cekak yang diwarisi Ustaz dari En Yahya. Dalam buku itu, saya juga telah membincangkan tentang perkembangan Silat Cekak seterusnya sejak pemergian Ustaz hinggalah tertubuhnya pelbagai persatuan Silat Cekak yang baru.

Setelah membaca buku tersebut, diharapkan para pembaca boleh membuat kesimpulan tentang kebenaran kepimpinan Silat Cekak yang ada. Mana satu silat yang sebenarnya dan sah serta mana satu guru yang memimpin pelbagai persatuan persilatan itu yang sah dan benar.

Perbincanjgan saya tentang pelantikan guru dalam Silat Cekak adalah berdasarkan fakta yang ditekankan kefahamannya oleh Ustaz sendiri pada satu ketika yang lalu. Maknanya, Ustaz telah atau pernah memberi penekanan tentang pelantikan guru yang sebenar guru dalam persilatan Silat Cekak. Ada syarat-syarat pelantikan tersebut. Semua ahli Silat Cekak ketika itu faham dan tidak pun membantah. Kefahamannya jelas. Itulah pegangan kami. Pegangan para pendukung Silat Cekak. Pandangan orang-orang kanan Ustaz Hanafi. Malah, itulah pandangan ahli-ahli Silat Cekak sendiri. Tidak ada sesiapa pun yang membantah. Ketika itu.

Malangnya, kefahaman tentang syarat pelantikan guru itu telah mula dilupakan. Apatah lagi pada generasi baru yang ada sekarang. Inilah satu perkara yang amat merimaskan saya. Macam mana ahli-ahli yang faham tentang kefahaman itu lama-lama boleh tidak faham. Boleh lupa atau buat-buat lupa.

Tapi rasa-rasanya, saya tersangat yakin bahawa kefahaman tersebut tidak mungkin dapat dinafikan para ahli yang satu masa dulu pernah bergelar para pendukung Silat Cekak. Mereka pernah bersama-sama dengan Ustaz Hanafi. Ego diri kerana kepentingan diri sahaja yang menyebabkan mereka beralih pandangan.

 

Satu ketika dulu pegangan mereka tentang kedudukan guru adalah mantap. Semua kefahaman itu adalah merupakan asas pegangan ahli-ahli Silat Cekak ketika Silat Cekak mula mengembangkan sayapnya dalam pentas persilatan Silat Melayu. Semua pihak dan semua ahli dalam persilatan Silat Cekak menerima kefahaman tersebut. Mana-mana ahli yang tidak menerima akan kefahaman itu terpaksa mengundur diri atau diundurkan diri mereka. Maka tingallah ahli-ahli yang memahami kehendak dan kefahaman Ustaz sahaja.

Seperti yang saya katakan, kefahaman tersebut mula dilupakan dan boleh dilupakan gara-gara kepentingan peribadi atau kepentingan diri. Rimas sungguh. Berlakulah pepecahan demi pepecahan atas sifat hendak menjadi guru. Kini, sudah ada banyak guru. Semuanya mengaitkan diri mereka dengan Ustaz Hanafi. Pusaka Hanafi. Apakah kelayakan mereka seperti mana yang dikehendaki Ustaz.

Hal yang demikianlah menyebabkan saya menalis kembali akan kefahaman yang pernah kami pegang satu ketika dulu. Nampaknya, kefahaman tersebut tidak lagi diterima pakai oleh para pemimpin Silat Cekak yang ada sekarang ini dalam pelbagai persatuan. Masa Ustaz boleh pulak pakai. Kena pakailah masa itu sebab itulah kefahaman sebenarnya yang ada. Tidak ada kefahaman lain melainkan itulah saja kefahamannya.

Oleh itu, semua ahli pegang dan faham akan kefahaman tersebut ketika menjadi ahli yang berkait rapat di zaman Ustaz. Malah, seperti yang dikatakan, ada dalam kalangan mereka bergelar para pendukung Silat Cekak atau orang-orang kanan Silat Cekak ketika zaman Ustaz. Cuma, ketika ini dukungan tersebut berlain sifatnya setelah mereka mendukung pelbagai persatuan yang berpecah. Ada perkara lain yang didukung dan didokong.

Dalam buku tersebut saya juga menyentuh tentang sifat-sifat ahli yung cuba menyaingi kepimpinan Guru Utama. Maknanya, sejak zaman Ustaz lagi, terdapat dalam kalangan ahli yang berwatak cuba bersaing untuk mendapat kedudukan sebagai guru. Walau bagaimanapun, Ustaz dapat mengawalnya dengan tegas. Tidak hairanlah jika sifat itu terus-menerus berlaku di zaman-zaman berikutnya hingga sekarang.

Dalam satu bab yang lain saya turut membincangkan tentang sifat para pengikut yang baik dan benar dalam persilatan Silat Cekak. Kita selalu berbincang tentang usaha-usaha menjadi seorang pemimpin yang baik. Namun begitu, kita jarang membincangkan tentang sifat-sifat menjadi pengikut yang baik. Pemimpin yang baik hanya akan berjaya dalam bidang kepimpinannya jika mereka mempunyai para pengikut yang baik.

Kita tidak mahu berpecah mudah di masa-masa depan. Pisang telah berbuah dua kali dalam persatuan kita. Kalau dah dua, berkemungkinan boleh jadi tiga. Oleh itu perlu ada pengawalan. Salah satu caranya ialah setiap ahli perlu memainkan peranan menjadi ahli yang baik. Saya mencadangkan beberapa langkah bagi memenuhi keperluan menjadi pengikut yang baik dan setia.

Dalam zaman saya dulunya, terdapat satu konsep yang sering dibincangkan dalam kalangan ahli. Konsep Jantan. Berkaitan dengan konsep itulah maka lahirnya pelbagai istilah. Misalnya, penumbuk jantan, gerak jantan, nafas jantan, tarik jantan dan banyak jantan yang lainnya. Saya cuba menarik perhatian para pembaca tentang konsep jantan tersebut dalam pengurusan dan tindakan para pemimpin dan para pengikut. Saya kemukakan satu teori jantan yang boleh diguna pakai oleh para ahli kita dalam kehidupan sebagai pesilat Silat Cekak.

Saya berpendapat bahawa pepecahan yang berlaku jangan mudah berlaku lagi. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Sesuatu yang tidak pernah kita fikirkan, boleh juga berlaku. Ketika saya dan rakan-rakan bergiat cergas dalam persilatan Silat Cekak di zaman Ustaz, tidak pernahpun terfikir boleh berlaku pepecahan seperti mana yang berlaku sekarang. Semacam tidak percaya pepecahan boleh berlaku. Ketika itu, kalau ada perselisihan pendapatpun, tidak terfikir akan pepecahan.

Akan tetapi pepecahan berlaku juga tanpa diduga. Kawan setia boleh jadi musuh yang nyata. Sumpah silat boleh hilang entah ke mana. Kefahaman Ustaz beralih arah akibat tiupan angin yang pelbagai arah. Macam mimpi. Tapi itulah kenyataannya. Maka, begitulah juga halnya yang boleh berlaku di masa-masa depan. Sesuatu yang kita tidak terfikir kemenjadiannya, akhirnya boleh terjadi.

Apa pun, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mempastikan persatuan yang sedia ada dapat berjalan dengan baik den sentiasa mantap. Perhatikan kelemahan-kelemahan yang wujud yang boleh menyebabkan ahli-ahli tidak berpuas hati. Perasaan tidak puas hati ini cepat-cepat selesaikan. Jangan dibiar umpama gunung berapi. Tatkala sampai masanya baru meletus tanpa dapat dikawal-kawal lagi. Tidak boleh tertahan-tahan lagi. Musnah segala-galanya.

Saya mengingatkan para pemimpin persilatan kita supaya tidak mengulangi sifat yang pernah ada dulunya:

Jaga sifat dan sikap diri. Janganlah bersifat sombong dan meninggi diri terutamanya pada para ahli. Bertuturlah secara sopan. Jangan tarik muka. Nampak sifat sombongnya. Nanti dikatakan sebagai berlagak. Jangan meninggi suara ketika anak buah kita gagal menjalankan satu-satu tugas. Ingat. Hanya Guru Utama saja yang berhak memarahi anak muridnya. Orang kanan jangan sesekali bersifat sedemikian. Kita sama-sama berjuang tanpa mengharapkan balasan. Hormatilah pengorbanan yang dilakukan oleh golongan pelaksana. Merekalah barisan hadapan persilatan kita.

Sifat orang kanan, jangan sesekali suka bermuka-muka. Depan guru, bukan main lagaknya. Menokok tambah kebanyakan cerita. Orang lain yang bakal sengsara gara-gara sifat buruk yang tidak tentu hala. Orang yang suka bermuka-muka, sangat pandai berpura-pura. Depan guru, pijak semut pun tak mati. Belakang guru, bukan main lagi penonjolan diri. Anak buah sentiasa memerhati. Wujud perasaan tidak puas hati. Akhirnya mengundang cetusan gunung berapi.

Itulah sifat yang amat merimaskan, berlaku sebelum kita berpecah buat kali keduanya. Berhati-hatilah. Ambil pegajaran atas apa yang pernah berlaku. Insya-Allah, jika semuanya berjalan dengan baik, barulah persatuan kita akan kukuh dan dihormati kawan dan lawan.

Buku tersebut mempunyai lebih 300 muka surat, sama saiznya dengan buku Lading Emas dan Sepak Minang. Buku itu akan dicetak berdasarkan keperluan ahli. Kali ini, penerbitannya adalah atas usaha bersama dengan persatuan kita. Eloklah jadi bahan simpnan dan rujukan.

Ketika ini juga saya turut menyusun sebuah buku lagi yang berkaitan dengan kefahaman-kefahaman yang ada dalam persilatan Silat Cekak. Buku tersebut bertujuan memudahkan para ahli menguasai semua kefahaman tersebut secara teratur dan tersusun. Hal yang demikian saya anggap penting. Jika setiap ahli itu boleh bersilat dan menguasai akan kefahaman pesilatannya maka barulah tampak akan kehebatannya sebagai ahli Silat Cekak. Saya akan membuat ulasan tentang buku tersebut setelah siap disusun. Sekian.

 

25.0. 3. ZON RIMAS.

Kita masih lagi membincangkan tentang perkara-perkara yang merimaskan hati kecil. Walaupun perkara itu tidak meletup menjadi isu besar ketika itu, akan tetapi perkara-perkara itu telah berlangsung umpama api dalam sekam. Merebak perasaan tak puas hati tapi dalam lingkungan dan suasana yang boleh dikawal diri. Tidak ditunjukkan secara terang-terangan akan perasaan tidak puas hati tersebut. Sebaliknya, perasaan tidak puas hati itu hanya dibiarkan merebak dalam hati sanubari hinggalah meletus pada satu hari kemudiannya.

Saya telah menyentuh dua perkara yang telah memberi sumbangan pada zon rimas. Dalam tulisan ini, saya akan sentuh satu perkara lagi yang berkaitan dengan gelagat orang-orang yang berada di sekeliling Guru Utama.

 Gelagat Orang Sekeliling Guru Utama.

Saya dapat simpulkan bahawa tafsiran pada orang sekelilng Guru Utama boleh dikategorikan kepada dua kumpulan. Pertamanya ialah orang-orang yang sememangnya rapat dengan Ustaz. Hubungan rapat ini disebabkan jawatan yang disandang ataupun kerana hubungan peribadi yang akrab. Mereka sentiasa bersama Guru Utama dalam banyak hal. Boleh dikatakan bahawa pengaruh mereka pada guru adalah besar.

Satu lagi kumpulan ialah mereka yang cuba merapatkan diri dengan Guru Utama. Kadang kala mereka tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam persatuan atau persilatan. Namun begitu, ramai juga dalam kalangan mereka yang berjawatan tinggi dalam sektor awam dan sektor swasta. Kesempatan yang sedemikian menyebabkan mereka sentiasa berusaha merapatkan diri dengan guru. Dalam banyak keadaan, mereka berjaya berbuat demikian.

Nampaknya kedua-dua kumpulan ahli yang berada sekeliling guru tersebut mempunyai pelbagai gelagat yang merimaskan. Gelagat mereka itu kerap kali boleh mengancam kewibawaan ahli-ahli yang lain dalam persatuan dan persilatan Silat cekak. Ancaman itu adalah dalam pelbagai bentuk. Termasuk ancaman penyingkiran dari persatuan dan persilatan.

Dalam perbincangan kali ini, saya hanya menyentuh secara umum tentang gelagat mereka tersebut. Segala peristiwa adalah berlaku sepanjang bersama dengan Guru Utama sejak zaman Ustaz hingga ke zaman Pak Ak. Ketika ini saya kurang pengetahuan lagi. Oleh itu tidak adil bagi saya untuk membuat perbandingan secara terperinci.

Namun begitu, mungkin hal yang telah berlaku eloklah dijadikan panduan dan renungan pada golongan ahli-ahli yang sedang berada di sekeliling Guru Utama ketika ini. Perkara buruk jadikan sempadan. Jangan berulang sifat yang merugikan persilatan dan persatuan. Hakikatnya, perasaan rimas amat berbahaya dalam hubungan peribadi sesama ahli.

Walau bagaimanapun pada zaman dahulu, perasaan rimas hanya berkumpul dalam zon rimas yang masih lagi dapat dikawal. Sifat rimas tidaklah menerbitkan perasaan benci hingga boleh memutuskan hubungan sesama ahli. Akan tetapi perasaan itu terwujud hingga menyebabkan hati berkata-kata seorang diri. Sifat rimas itu semakin membara akibat gelagat yang mereka tunjukkan sendiri. Saya akan membincangkan beberapa aspek gelagat mereka yang terjadi ekoran sifat mereka yang rapat atau cuba menjadi rapat dengan Guru Utama.

Gelagat yang pertama adalah berkaitan dengan sifat menonjol diri. Sesuatu yang amat merimaskan ialah sifat orang-orang sekeliling yang hanya tertonjol ketika kehadiran Guru Utama. Maknanya, bila ada Guru Utama baru nampak kesibukan atau peranan mereka. Tanpa kehadiran guru, tak nampak keterampilan mereka, malah tak nampak pun batang hidung mereka. Pada ahli yang suka memerhati atau pada ahli-ahli yang mempunyai komitmen yang tinggi, mereka boleh mengesan kumpulan penyebok tersebut. Sangat pandai menyebokkan diri di hadapan Guru Utama.

Kebiasaannya, mereka juga adalah orang yang berjawatan penting dalam perjawatan kerajaan atau swasta. Oleh itu, mereka mempunyai kelebihan untuk merapatkan diri dengan Guru Utama. Pada hal, peranan mereka dalam persatuan dan persilatan tidaklah begitu jelas. Namun begitu, mereka tetap dipandang tinggi atas sifat jawatan mereka yang ada itu. Ada yang dilantik dalam jawatan penting persatuan sebagai jawatan kehormat. Misalnya menjadi ahli dalam MMT.

Kebiasaannya sifat mereka hanya muncul ketika ada majlis-majlis tertentu yang dihadiri Guru Utama. Dalam majlis itu mereka diutamakan. Diberi tempat duduk di barisan hadapan. Kerap kali sederet dengan tetamu utama. Rimas menengoknya. Nampak sangat diri mereka bermuka-muka. Habis acara majlis, tak nampak muka. Maka tinggallah ahli-ahli jawatankuasa lain yang mengemas tempat dan menyusun bangku semula.

Apa yang saya perhatikan, ketika kita berada dalam persengketaan, peranan mereka adalah sebagai pengadu domba. Mana mereka ada perasaan kesetiaan sepenuhnya pada persilatan. Mereka peduli apa pada masa depan persilatan. Perkara penting ialah kepentingan diri dan penonjolan diri. Mereka hanya pentingkan diri mereka dihormati. Oleh itu, tindakan mereka ialah mencari populariti; bukannya menegakkan kebenaran dalam hak persilatan. Pada saya, merekalah kemudiannya yang menjadi penyebab utama pencetus pepecahan yang paling efektif. Sungguh merimaskan.

Gelagat kedua adalah berkaitan dengan tindakan mereka sebagai jurucakap Guru Utama. Maknanya, ada pula dalam kalangan orang-orang sekeliling yang cuba menjadi orang kanan Guru Utama. Peranan mereka sampai ke peringkat boleh bercakap bagi pihak Guru Utama. Kebenarannya belum pasti. Akan tetapi, mereka boleh bertindak bagi menentukan keputusan atau buat keputusan berdasarkan diri sendiri. Kerap kali keputusan mereka itu tidak merujuk pada Guru Utama tapi menjadikan keputusan mereka itu seolah-olah keputusan Guru Utama.

Apa yang saya perhatikan, cakap-cakap mereka tersebut tidak disanggah oleh ahli-ahli yang lain secara terbuka. Mungkin hal yang demikian kerana mereka beranggapan wujudnya hubungan rapat antara orang-orang sekeliling guru itu dengan Guru Utama. Oleh itu, ahli-ahli yang ada tidak mahu mencari masalah atau membentuk isu yang boleh merenggangkan hubungan dengan Guru Utama.

Itu sebabnya pada zaman dulu saya suka berhubung terus dengan Guru Utama untuk mendapatkan satu-satu keputusan. Termasuk tarikh ijazah. Sudah tentulah hal yang demikian tidak menyenangkan mereka; tapi menyenangkan diri saya. Saya hanya mengambil sikap, lantaklah. Maka tidak hairanlah hal yang demikian merupakan salah satu faktor menjadikan saya sering terketepi.

Kebenaran tindakan mereka tidak terjamin. Kalau keputusan mereka hanya berkaitan hal-hal persatuan, mungkin kesannya tidak parah. Sebaliknya, keputusan mereka yang berkaitan gerak silat, tentunya memberi kesan yang berpanjangan dalam dunia persilatan Silat Cekak seterusnya. Nampaknya, mereka jugalah antara kumpulan yang suka menyelaras gerak-gerak dalam persilatan Silat Cekak mengikut kebolehan diri mereka sendiri. Kalau mereka tidak mampu menyepak, agaknya gerak sepakan telah ditiadakan. Kesibukan Guru Utama membolehkan mereka bermain peranan.

Apa yang saya perhatikan kebanyakan cakap-cakap atau arahan mereka telah diterima ahli secara paksarela. Ahli-ahli tidak pula cuba merujuk semula pada Guru Utama. Mungkin banyak sebabnya. Pertama, sememangnya hubungan orang-orang sekeliling guru itu dengan Guru Utama adalah rapat; sukar diganggu gugat dan keduanya kemungkinan besar ahli-ahli yang lain tidak mahu mengeruhkan hubungan dengan mereka. Kalau hubungan menjadi keruh, parah akibatnya.

Saya pernah menulis tentang hal tersebut.

”Ketika itu, mereka yang ada kuasa selalu menunjuk-nunjuk kuasa yang ada untuk memaksa orang lain mematuhi arahan mereka. Dulu, zaman Ustaz orang ikut arahan mereka kerana segan. Tapi, kemudiannya orang lain ikut arahan mereka kerana paksaan dan ketakutan dipecat atau diketepikan. Hinggakan ada juga dalam kalangan pemimpin cawangan yang berair dalam seluar sendiri. Kecut perut setiap kali bersua muka dengan mereka. Muhasabah diri selalunya tidak menjadi. Takut dan kecut perut pada ketua berkenaan.”

Gelagat ketiga yang merimaskan ialah sifat mereka yang cuba meniru gaya Guru Utama sama ada dari segi pelakuan mahu pun dari segi percakapan. Nampak benar kejanggalannya sebab gelagat mereka itu bukanlah sifat semula jadi mereka. Melainkan satu usaha untuk meniru sifat atau perwatakan Guru Utama. Ketika itu sifat atau pelakuan yang sedemikian amat merimaskan ahli-ahli.

Saya pernah menyentuh tentang pelakuan seorang yang berjawatan penting dalam persatuan yang cuba bertindak mengikut cara Guru Utama. Kesannya, ahli-ahli tidak menerima pelakuan tersebut.

Begitu juga dalam percakapan. Mereka cuba bercakap perkara-perkara menarik yang pernah dicakap Ustaz. Mereka bercakap seolah-olah itulah percakapan mereka daripada isi hati atau akal fikiran mereka sendiri. Hakikatnya, mereka menumpang cakap berdasarkan percakapan Ustaz. Maknanya, percakapan mereka bukanlah dari lubuk hati mereka sendiri. Tempelan semata-mata. Itu sebabnya cakap-cakap mereka tidak masin. Nampak sangat pertentangan antara percakapan dengan perbuatan. Sungguh merimaskan.

Saya ambil satu contoh perkara yang sering dicakap Ustaz mengenai konsep 3 TA. Ustaz sering menerangkan tentang faktor harta, tahta dan wanita sebagai faktor-faktor utama yang memberi cabaran dalam kehidupan seseorang. Semua ahli faham akan maksud penerangan Guru Utama. Penerangan atau huraiannya adalah jelas kerana berkisar dalam pentas kehidupan manusia. Amat sedap untuk bercakap dan mudah bercakap tentang konsep tersebut dari segi akal fikiran yang ada. Maka konsep itu sentiasa diulang-ulang cakap oleh orang-orang sekeliling guru itu pada ahli-ahli baru yang tidak biasa mendengarnya dari Guru Utama. Apabila mendengar cakap-cakap mereka pada perkara-perkara yang pernah diucap Ustaz, sebijik macam Ustaz. Hakikatnya, kosong belaka.

Sifat rimas timbul apabila terlihat percakapan mereka itu umpama cakap tak serupa bikin atau bikin tak serupa cakap terutamanya berkaitan dengan kuasa. Satu segi bercakap tentang bahaya Ta yang berbentuk kuasa. Satu segi yang lain mereka berebut kuasa. Maknanya, orang yang cuba menjadi juara bercakap tentang bahayanya kuasa, akhirnya menggunakan kedudukan mereka untuk berebut kuasa. Hal yang demikian amatlah merimaskan.

Gelagat berikutnya ialah berkaitan dengan proses mendapat keberkatan guru. Ramai yang cuba mendapat keberkatan guru secara jalan pintas. Kalau gerak silat, harapannya ialah gerak tersebut akan meresap dengan sendirinya dalam tubuh badan. Usaha pada tangan dan kaki tidak begitu diberatkan. Timbul tabiat akan sikap mereka yang suka makan makanan atau minuman lebihan Guru Utama. Tentunya perbuatan tersebut adalah dengan harapan segala ilmu yang ada pada Guru Utama akan dapat menyerap dalam tubuh badan mereka. Sungguh merimaskan apabila melihat akan sifat mereka tersebut.

Ada juga dalam kalangan mereka yang melakukan perbuatan melampau yang bukan menjadi kebiasaan mereka. Saya tidak mahu berbincang panjang dalam soal ini. Saya juga tidak mahu membincangkan buruk dan baiknya. Cuma, perbuatan mereka itu merimaskan mata saya apabila memandang di satu masa yang kehadapan.

Salah satu perbuatan tersebut ialah bersalam sambil mencium tangan. Satu segi perbuatan tersebut melambangkan sifat hormat dan sifat kesetiaaan yang tidak berbelah bahagi. Akan tetapi akhirnya ternampak sifat tidak akhlas diri. Mereka pulak yang menjadi pertualang utama yang memimpin gerakan melawan guru. Sungguh merimaskan. Nampak sangat hipokrasinya.

Berdasarkan perbincangan, saya telah memperlihatkan akan pelbagai gelagat orang-orang yang berada di sekeliling guru yang amat merimaskan. Gelagat-gelagat itulah akhirnya telah meyumbang kepada perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli. Wujud perselisihan yang sukar dikesan dengan mata kepala dalam hubungan sesama ahli. Maka tidak hairanlah akhirnya wujud kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza pandangan dalam kalangan ahli. Puncaknya ialah pepecahan persatuan. Bencana pada persatuan.

 

25.0. 2. ZON RIMAS.

Saya masih lagi membincangkan tentang perasaan tidak senang dalam hati kecil ahli tentang suasana yang timbul dalam persatuan dulunya. Pengalamian perasaan itulah menyebabkan ramai dalam kalangan ahli termasuk diri saya sendiri berada dalam zon rimas. Hati kecil yang bergelar sanubari telah terusik. Pada mulanya, hati kecil itu masih terkawal dan tidak meletup umpama gunung berapi. Namun begitu, perasaan inilah yang banyak menyelubungi perasaan ahli-ahli hingga akhirnya memberi sumbangan pada sifat tidak puas hati yang merupakan asas pada bibit-bibit pepecahan.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah membincangkan soal kesetiaan pada guru sebagai faktor utama dalam zon rimas. Dalam tulisan ini, saya akan sentuh perkara lain sebagai pencetus suasana dalam zon rimas tersebut. Semoga apa yang saya tulis dapat dijadikan teladan dan sempadan bagi mengatasi perasaan tidak senang untuk pengurusan persatuan seterusnya. Hal yang demikian bagi mempastikan zon timas tidak merebak dan sentiasa dapat dikawal dari masa ke masa.

Zon rimas ini juga jika tidak dapat dikawal maka akan berlakulah penyalaan perasaan tak puas hati yang memungkinkan ’penentangan’ dari ahli sama ada secara senyap atau secara terang-terangan. Seperti yang pernah saya tegaskan, pepecahan-pepecahan yang berlaku dalam gelombang pertama dan kedua dulunya adalah berkait rapat dengan merebaknya zon rimas yang tidak pernah cuba dipadamkan secara tegas.

Urusan Surat-Menyurat.

Bidang persilatan tetap terikat dengan urusan persatuan. Salah satu urusan persatuan adalah berkaitan dengan urusan surat-menyurat. Nampaknya, urusan yang berkaitan dengan surat-menyurat juga telah menimbulkan zon rimas dalam kalangan ahli, terutama yang berada di cawangan. Parasaan tidak senang hati sentiasa wujud setiap kali menerima surat daripada pihak pengurusan. Saya mempunyai pengalaman dalam hal tersebut.

Walaupun dibuat teguran, hal yang demikian tidak pernah selesai pada zaman dulu hinggalah berlarutan ke zaman kita berpecah dalam gelombang pertama. Nampaknya hal yang sama tetap berulang selepas pepecahan dalam gelombang pertama dan berlarutan hingga membawa kepada pepecahan dalam gelombang kedua.

Saya tidak menyimpulkan bahawa urusan surat-menyurat ini adalah penyebab langsung kepada pepecahan yang berlaku. Sebaliknya, urusan yang berkaitan dengan surat-menyurat ini telah menimbulkan perasaan tidak senang hati dalam kalangan ahli. Perasaan tidak senang hati inilah yang meluaskan zon rimas dan menyemarakkan perasaan tak puas hati yang mulai terbina dari masa ke masa.

Pada pemerhatian saya, dulunya terdapat dua hal besar yang berkaitan dengan urusan surat-menyurat hingga menimbulkan zon rimas dalam diri ahli termasuk diri saya sendiri. Pertamanya adalah berkaitan dengan bentuk surat itu dan keduanya adalah berkaitan dengan isi surat. Kedua-dua perkara tersebut nampaknya tidak mudah diselesaikan dan sentiasa berulang setiap kali menerima surat. Hal yang demikian menimbulkan perasaan rimas setiap kali menerima surat.

Pada masa kepimpinan Ustaz, aktiviti persatuan tersangat terhad. Tak banyak aktiviti maka tidak banyaklah urusan surat-menyurat. Teramat jarang saya menerima surat dari pihak pusat. Hanya sekali sekali adalah surat-surat yang berkaitan dengan aktiviti silat. Misalnya hari tenaga pengajar dan makan malam tahunan. Ketika itu surat-surat yang diterima tidak menimbulkan sebarang isu. Hal yang demikian kerana wujudnya suasana yang tenang dalam aspek hubungan.

Suasana tenang saya merujuk pada sifat bekerja atau sifat menjalankan tugas. Saya dapat rasakan keseluruhan ahli yang diberi tanggungjawab, benar-benar menjalankan tugas untuk Ustaz. Lantaran itu mereka yang menerima arahan atau menerima sebarang bentuk pemberitahuan secara bersurat akan bertindak kerana Ustaz. Maknanya, semasa kepimpinan Ustaz, hal-hal yang membolehkan wujudnya perasaan tidak senang hati sentiasa terkawal dan tidak mungkin timbul dengan sewenang-wenangnya.

Dalam tulisan-tulisan saya yang terdahulu, saya telah membuat gambaran betapa dalam zaman selepas kepimpinan Ustaz, banyak perubahan telah berlaku. Stail kepimpinan telah berubah. Sikap orang-orang kanan turut berubah. Silat semakin berkembang. Aktiviti persatuan semakin banyak. Secara langsung maka banyaklah jawatankuasa yang tertubuh. Penglibatan ahli-ahli dalam aktiviti dan urusan persatuan semakin ramai. Pada padangan saya dalam suasana yang sedemikian maka ketika itulah mula tersuburnya perasaan tidak senang dalam kalangan ahli. Sedikit demi sedikit, perasaan tidak senang hati itu telah menimbulkan banyak prasangka buruk dalam kalangan ahli. Salah satu prasangka buruk ini juga telah timbul dalam urusan surat-menyurat.

Boleh dikatakan ketika itu Presiden merangkap Guru Utama tidak dapat mengawal pengurusan aktiviti yang banyak tersebut. Surat-surat yang keluar tidak ditandatangani Presiden. Kadang kala saya pun ragu-ragu sama ada arahan dalam surat itu datangnya dari presiden persatuan atau dari orang-orang kanannya. Lebih malang lagi apabila Presiden merangkap Guru Utama sendiri tidak mengetahui akan perancangan yang dilakukan ahli-ahlinya.

Keadaan semakin tidak menyenangkan apabila dalam satu-satu ketika aktiviti tersebut dirujuk pada Presiden. Malangnya beliau sendiri tidak dapat menjawabnya. Hal yang demikian telah mewujudkan satu suasana yang tidak senang dalam kalangan ahli-ahli yang mula berkumpulan dalam konteks pemikiran. Keadaan rimas semakin berleluasa.

Saya dapat perhatikan betapa setiap jawatankuasa yang terbentuk adalah bebas untuk mengeluarkan surat. Mereka boleh mengeluarkan surat pada bila-bila masa yang mereka kehendaki mengikut keperluan jawatankuasa mereka sendiri. Saya boleh katakan bahawa pengeluaran surat-surat adalah tidak terkawal. Nampaknya, seolah-olah Guru Utama selaku Presiden tidak mampu mengeluarkan surat-surat jemputan atau surat-surat berbentuk pemberitahuan atau arahan, berbanding dengan usaha-usaha yang dilakukan jawatankuasa yang dibentuk itu.

Kebebasan mengeluarkan surat menyebabkan adab surat langsung tidak diberatkan. Pada pandangan saya, pemberitahuan akan program-program besar yang dikendalikan persatuan sepatutnya dilakukan oleh setiausaha ataupun presiden persatuan. Namun, atas sifat kebebasan, pengerusi program itu sendiri layak mengeluarkan arahan atau pemberitahuan atau peraturan. Lebih melucukan, dalam keadaan-keadaan tertentu, setiausaha sendiri terpaksa merujuk pada pengerusi program untuk mendapatkan butiran aktiviti yang tertentu. Lebih malang lagi apabila presiden juga terpaksa berbuat demikian.

Oleh sebab adab mengeluarkan surat tidak dipandang berat maka penerima surat itu juga tidak menurut adab. Pengerusi program boleh mengarah Yang Di Pertua Cawangan untuk bertindak sesuatu. Lebih malang lagi apabila pengerusi pun orang baru berbanding dengan Yang Di Pertua Cawangan yang begitu lama dalam persilatan. Kalau di asrama penuh, junior mengarah senior maknanya ialah perbuatan biadab. Dalam pengurusan persatuan Silat Cekak mungkin maksudnya tidaklah sampai ke begitu. Cuma hati kecil ahli di cawangan tarasa rimas apabila menerima surat arahan dari pihak yang bukannya pemimpin tertinggi persatuan. Sesungguhnya itulah perkara yang tersangat merimaskan.

Bentuk surat satu fasal manakala isi surat pula adalah satu fasal yang lain. Hakikatnya, kedua-dua fasal tersebut telah menyuburkan zon rimas. Apabila membaca isi surat memang terasa tidak senang. Rimas. Kerap kali isi surat itu melambangkan sifat yang amat merimaskan. Isi surat tersebut bersifat meremeh dan mengambil ringan akan peranan ahli-ahli yang berada di cawangan.

Saya bagi satu contoh isi surat yang berkaitan dengan penyertaan cawangan dalam program makan malam. Isi surat tidak berbentuk jemputan secara kehormat, sebaliknya merupakan jemputan berbentuk ugutan. Terdapat ayat yang bersifat mengharapkan jawapan segera dengan ancaman siapa yang cepat, dia yang dapat tempat.

Saya berpandangan, sepatutnya pihak cawangan disediakan jumlah peruntukan tempat. Pihak cawangan hanya ditugaskan memenuhi tempat yang diuntukkan atas usaha sendiri. Hal yang demikian melambangkan sifat menghargai dan memberi penghormatan pada pihak cawangan untuk menyertai program tersebut.

Setelah saya tidak memegang apa-apa jawatan dalam persatuan di peringkat cawangan, saya sering juga menerima surat jemputan bagi menghadiri satu-satu majlis. Pada kebiasaannya, jemputan yang dilakukan adalah berdasarkan jemputan sebagai tetamu kehormat. Malangnya, surat jemputan yang diterima adalah bertentangan dengan maksud sebagai tetamu jemputan kehormat. Misalnya, isi surat tidak dapat membezakan antara jemputan yang dikenakan bayaran penyertaan dengan jemputan sebagai penghormatan yang hanya perlu membuat sumbangan.

Saya sering memberi teguran bagi mempastikan sifat menghargai pada ahli-ahli yang diberi penghormatan benar-benar berbentuk penghargaan. Sifat penghargaan perlu dipupuk dan diambil berat. Sifat ini adalah berterusan pada setiap generasi yang akan datang dalam persilatan dan persatuan Silat Cekak. Namun begitu teguran saya sentiasa berulang dan seolah-olah tidak pernah diambil berat dan umpama lalu di celah kangkang. Hal yang demikian teramat merimaskan. Bersambung.

25.0. 1. ZON RIMAS

Sifat rimas atau perasaan rimas boleh mewujudkan satu suasana yang bergelar zon rimas dalam diri ahli. Dalam zon ini terpancar perasaan yang tidak senang dalam hati kecil ahli. Hati kecil itu yang dikenali sebagai sanubari telah terusik tapi tidak diluahkan. Kalau diluahkan maka jadilah sifat tidak puas hati. Sifat ini boleh kita nampak dan mudah diatasi dengan pelbagai cara sama ada berbentuk penerangan atau berbentuk ugutan.

Akan tetapi sifat rimas lebih berseni kerana sifat itu tidak mudah dipancar melainkan terbuku dalam lubuk hati yang jauh. Maka perasaan rimas boleh terkarang dari masa ke masa hingga ke puncaknya. Sejarah pepecahan dalam persatuan kita adalah melambangkan kemuncak zon rimas yang ada dalam kalangan ahl yang tidak dapat mengawal diri.

Selalu saya berpandangan bahawa zon rimas yang boleh muncul dalam kalangan ahli, perlu diberi perhatian dan diambil kira dalam setiap kali perancangan persatuan yang menguasai perjalanan persilatan. Zon rimas boleh memberi atau membawa maksud petanda. Konsep petanda itu pula boleh merupakan satu amaran awal pada satu-satu aspek kelemahan persatuan yang perlu diperbaiki. Maknanya, pihak kepimpinan perlu mengambil berat segala gejala yang berlaku, terbit dari wujudnya zon rimas dalam kalangan ahli.

Lawan kepada zon rimas ialah zon selesa. Dalam mana-mana persatuan yang mulai mantap dan seterusnya menjadi mantap, akan terwujud zon selesa. Pada hakikatnya, zon selesa boleh mengundang bahaya. Kita boleh menjadi lalai akan perkembangan yang berlaku. Tidak ada usaha untuk membaiki sesuatu kelemahan atau memenuhi harapan ahli bagi membaiki sesuatu kelemahan.

Pada mereka yang menjawat jawatan persatuan, akan berasa selesa dengan jawatan yang disandang dan berasa selesa dengan apa yang ada. Kurang sensitif dengan perasaan orang lain. Setiap arahan yang diberi hanya menagih ikutan ahli tanpa membantah. Mulalah berkembangnya sifat sombong diri. Tidak banyak inisiatif untuk terus meningkatkan hubungan sesama ahli. Semuanya berlaku tanpa dirancang kerana sifat itu terbit dan terpupuk secara sendiri dari masa ke masa. Itulah sifat bahaya yang sukar dikesan.

Berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan kesimpulan saya selama berada dalam persatuan Silat Cekak sejak zaman Ustaz lagi maka dapat saya katakan bahawa zon selesa inilah akhirnya telah memberi saham yang besar dalam mengundang sifat perbalahan dan akhirnya menimbulkan pepecahan. Sebaliknya, kalaulah kita mengambil berat akan kewujudan zon rimas dalam kalangan ahli maka banyak perkara boleh dikawal. Sesungguhnya zon rimas memberi banyak petanda.

Saya menulis berdasarkan pengalaman dan pengalamian dan pemerhatian. Sifat yang terbentuk dalam zon rimas ahli-ahli Silat Cekak, telah banyak memberi sumbangan pada pepecahan dalam gelombang pertama dan seterusnya dalam pepecahan golombang kedua. Cuba kita tinjau kembali sifat-sifat yang wujud dalam zon rimas tersebut agar sifat-sifat itu tidak berulang kembali dalam zaman kepimpinan yang ada sekarang. Rujukan perbincangan saya adalah lebih banyak dalam zaman kepimpinan Ustaz dan Pak Ak.

Saya berpandangan hal yang demikian tersangat penting agar pepecahan berikutnya dalam persatuan kita dapat dikawal. Segala kelemahan yang pernah berlaku perlu dijadikan sempadan. Perbaiki kelemahan dan cepat-cepat bertindak pada petanda atau amaran awal kepada api pepecahan yang cuba bernyala dalam persatuan dan penodaan yang mula berlaku dalam bidang persilatan. Cuba kita lihat akan sifat-sifat yang pernah berlaku dalam zon rimas suatu masa dahulu. Banding-bandinglah dengan suasana yang ada sekarang. Adakah sifat-sifat itu masih terus berlaku.

Isu kesetiaan pada Guru.

Isu ini mula timbul hanya dalam zaman Pak Ak iaitu pada masa pertengahan dan akhir zaman kepimpinannya sebelum pepecahan dalam gelombang pertama. Isunya ialah berkaitan konsep ketaatan pada Guru Utama, ekoran daripada guru utama itu yang tidak mengijazahkan mereka. Maknanya ahli-ahli berkenaan adalah merupakan ahli yang telah diijazah oleh Guru Utama yang terdahulu iaitu Ustaz Hanafi tapi masih menerajui kepimpinan dalam persilatan dan persatuan Silat Cekak ketika kepimpinan guru utama yang sedia ada.

Apabila ahli-ahli yang diijazah guru utama yang sedia ada semakin ramai dan semakin menguasai persilatan dan persatuan maka timbullah persaingan pengaruh. Di sinilah isu ketaatan pada guru mula dimainkan dan membentuk zon rimas dalam kalangan ahli. Hal yang demikian termasuk diri saya sendiri. Saya masih aktif dan bergiat cergas dalam persilatan Silat Cekak. Namun, keaktifan saya mula dicurigai dan menimbulkan prasangka buruk pada ahli-ahli yang berasa diri mereka disaingi. Hal yang demikian semata-mata kerana saya tidak diijazah Pak Ak, melainkan telah diijazah Ustaz.

Nak buat macam mana. Itulah kenyataannya. Mustahil saya perlu mendapatkan ijazah semula. Namun begitu saya terkesan akan prasangka buruk itu. Hal yang demikian amat merimaskan saya. Namun begitu saya tidak bertindak meluahkan perasaan. Tapi sentiasa berhati-hati dalam tindakan. Takut tersingkir. Takut kerana saya terlalu sayangkan Silat Cekak ketika itu.

Perasaan rimas ini mulai menyelubungi hati sanubari kebanyakan ahli-ahli lama yang masih bergiat cergas. Isu itu semakin lama semakin parah dan merebak umpama api dalam sekam. Sebagai jalan mengatasinya satu majlis foram bagi membincangkan konsep ketaatan pada guru utama telah diadakan. Saya juga turut menjadi salah seorang anggota panelnya. Foram tu tidak mendatangkan faedah bagi maksud penyelesaian masalah. Sebaliknya, isu itu tetap berlarutan dan amat merimaskan. Puncaknya berlakulah pepecahan dalam gelombang pertama.

Setelah kita berpecah dalam gelombang pertama, usaha-usaha meneguhkan persatuan telah dilakukan dari masa ke masa. Ketika itu hubungan sesama ahli sangat diambil berat. Sensiviti ahli diberi perhatian semata-mata kerana inginkan sokongan. Akhirnya persatuan menjadi teguh.

Rupa-rupanya keteguhan persatuan itu sekali lagi telah mengundang kewujudan zon selesa. Semua pihak telah berasa selesa dengan suasana baru yang ada. Sikap mula berubah. Seperti yang saya tegaskan terdahulu bahawa zon selesa mengundang bahaya. Sifat dulu kembali menjelma. Sifat ego, bangga diri dan sifat sombong telah bermaharajalela. Akhirnya wujud puak-puak dalam persatuan dan persilatan kita. Puak-puak ini mula bersaing dan menyebarkan pengaruh mereka. Persaingan telah mengundang perbalahan. Puncak perbalahan ialah pepecahan. Itulah yang terjadi. Pisang mula berbuat dua kali. Pisang tanduk.

Nampaknya, sebelum berpecah dalam gelombang kedua itu, isu ketaatan pada guru utama pada golongan pesaing telah dijadikan isu utama. Kali ini lebih parah apabila sengaja ditimbul-timbul akan isu berguru pada Guru Utama yang berlainan ijazahnya. Seperti dulunya, isu ijazah hanya timbul pada mereka yang tidak sehaluan dengan barisan kepimpinan yang rapat dengan guru utama yang sedia ada. Pada mereka yang rapat, tak ada isu ijazah.

Saya tidak dapat pastikan di mana puncanya akan isu itu yang digembar-gemburkan. Semua pihak yang bertelagah pendapat tetap menafikan wujudnya perbezaan ketaatan pada guru utama yang sedia ada dek kerana ijazah yang berlainan orang. Cuma, bezanya tak ada pulak majlis muzakarah atau majlis foram bagi menyelesaikan isu itu. Walau bagaimanapun isu itu tetap merebak. Hanya hati kecil yang tetap mengatakan bahawa isu itu memang ada. Akan tetapi pembuktiannya tidak ada. Hal yang demikian amat merimaskan. Ahli-ahli mula berada dalam zon rimas. Akhirnya berlaku juga pepecahan dalam gelombang kedua.

Persoalannya sekarang adakah isu yang sama masih ada dan cuba dimainkan dalam persatuan dan pesilatan kita ketika ini. Sekarang persatuan kita semakin mantap dan teguh organisasinya. Seperti yang dikatakan bahawa keteguhan persatuan akhirnya akan mewujudkan zon Selesa. Zon ini kerap kali mengundang bahaya. Cuba-cuba perhatikan. Lihat penjawat jawatan yang sedia ada. Berubah sifatkah mereka. Mula barankah sikapnya. Telah mula wujudkah sifat ego dan kesombongan diri. Adakah isu ketataatan pada Guru Utama telah cuba dinyalakan kembali.

Perhatikanlah supaya sejarah benar-benar memberi pengajaran. Agaknya sekarang ini isu ketaatan pada guru dalam persatuan kita mungkin tidak parah. Sebabnya, mereka yang telah diijazah Ustaz dan Pak Ak ramai yang telah tiada. Rata-rata, ahli yang setia dalam persatuan yang ada adalah mereka yang diijazah Guru Utama  yang sedia ada. Cuma, adalah tinggalan atau saki baki ahli-ahli lama yang telah diijazah Ustaz dalam persatuan yang sedia ada. Mereka ini golongan tua. Ada yang telah menjadi bangka. Ada yang masih aktif dan ada yang telah bersara dan ada yang berdiam diri hanya memberi sokongan sekadar mampu.

Kalau sudah tua dan keaktifannya semakin kurang maka eloklah jangan sesakali ada perasangka buruk pada mereka tentang konsep ketaatan pada guru yang ada. Jangan sesekali wujudkan kembali Zon Rimas dalam pemikiran mereka. Hargailah mereka. Sekurang-kurangnya kenangkan pengorbanan yang pernah mereka lakukan. Ada parang ada hulu, ada sekarang kerana ada dulu. Sejarah membuktikan bahawa kewujudan Zon Rimas itu akan memberi petanda terundangnya pepecahan dalam persatuan dan persilatan kita seterusnya. Berhati-hatilah. Bersambung.

25.0. 0. RIMAS

Saya selalu menulis tentang pengalaman saya yang sekian lama berada dalam persatuan dan persilatan Silat Cekak. Pengalaman lebih empat puluh tahun, banyak memberi pengetahuan dan keinsafan buat diri saya tatkala melihat akan perkembangan Silat Cekak dewasa ini. Sesungguhnya dalam tempoh masa tersebut, tersangat banyak pengalaman yang saya tempuh dan saya alami. Ada pengalaman yang manis dan tidak kurang pula kenangan yang pahit. Semua kenangan pengalaman tersebut telah saya nyatakan dalam tulisan-tulisan saya yang terdahulu.

Rupa-rupanya, pengalaman saya yang banyak itu turut mendapat perhatian dari kalangan ahli-ahli Silat Cekak yang terdiri dari pelbagai persatuan Silat Cekak. Maknanya, ada dalam kalangan ahli-ahli persatuan yang pelbagai itu, inginkan kepastian dan penjelasan lanjut tentang persilatan Silat Cekak itu sendiri. Mereka kurang berminat dengan persatuan Silat Cekak. Kewujudan kepelbagaian persatuan sudah mereka maklumi. Malah, tulisan saya tentang hal yang berkenaan sudah tetap dan menjelaskan maksudnya yang tersendiri.

Silat Cekak pada zahirnya berpecah hanya berdasarkan persatuan. Hakikatnya, kalau berdasarkan persilatan, Silat Cekak tidak berpecah. Hal yang demikian kerana kesemua persilatan Silat Cekak walau pun berlainan persatuan, tetap mendakwa bahawa asal usul persilatan mereka adalah bertunjangkan dari Ustaz Hanafi. Maknanya, pengaruh dan semangat Ustaz Hanafi tetap kuat dalam fahaman persilatan mereka yang berlainan persatuan itu.

Nampaknya, hal yang sedemikian iaitu semangat dan pengaruh Ustaz yang masih segar dalam persatuan persilatan mereka, telah mendorong mereka ingin mendapatkan penjelasan lanjut. Rupa-rupanya ada dalam kalangan ahli-ahli persilatan Silat Cekak dari pelbagai persatuan Silat Cekak itu yang masih tercari-cari maklumat lanjut tentang Ustaz Hanafi. Kefahaman dan gerak silat itu sendiri.

Maka sudah tentulah salah satu punca maklumat itu adalah bersumberkan anak-anak murid Silat Cekak yang pernah berguru secara langsung dengan Ustaz Hanafi. Ketika ini, murid-murid Ustaz semakin lama semakin kurang kerana di mamah usia. Ada yang masih aktif dan ada yang lupa diri. Ada pula yang telah pergi dan ada pula yang menyendiri. Masing-masing ada kenangan dan pengalaman yang tersendiri.

Banyak perkara yang boleh dijadikan bahan perbualan atau bahan penceritaan dari mereka. Ada cerita dongeng dan ada cerita yang nyata dengan pembuktiannya. Maka pandai-pandailah para ahli yang mencari-cari itu menapis fakta, berita dan cerita. Fakta, berita dan cerita itu tentunya banyak dipengaruhi fahaman diri mereka yang seadanya. Saya juga tidak terkecuali menjadi tumpuan mereka. Banyak perkara yang telah menjadi pengalaman hasil pengalamian saya menjadi fokus perbincangan utama.

Adatnya, mereka telah ada ketua atau para pemimpin yang berkuasa dalam persatuan dan persilatan yang mereka ceburi. Sepatutnya, kelebihan yang ada itu membolehkan mereka bertanyakan soalan dan persoalan. Tak payah cari orang lain. Tapi, lain pula jadinya. Ada juga kalangan mereka yang berlainan sifatnya. Mencari orang lain yang tidak terlibat menerajui persatuan dan persilatan yang ada bagi memberi jawapan kepada setiap persoalan mereka.

Saya turut dikunjungi mereka bagi mendapatkan penjelasan atau menjawab persoalan. Maka keadaan yang sedemikiian boleh mewujudkan satu suasana yang cemas dalam kepimpinan persatuan yang ada. Cemas adalah bermakna risau, gelisah, bimbang dan akhirnya takut. Entah apa yang dibimbang, dirisau, digelisah atau ditakuti. Kadang-kadang saya pun tak faham.

Kebiasaannya perkara yang diingini mereka ada dua perkara. Pertamanya ialah dari segi kefahaman Silat Cekak dan keduanya adalah dari segi gerak Silat Cekak. Maka saya akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang ada berdasarkan apa yang saya ada dan apa yang  saya faham.

Dalam hal ini, saya cuba menyatakan perkara-perkara yang ditanya dengan sebenar-benarnya. Tidak ada sebarang kepentingan buat diri saya untuk mengambil kesempatan. Umur pun telah lanjut. Tak ada apa yang ingin saya rebut terutamanya dari segi kuasa dan berkuasa. Lebih baik saya berbincang berdasarkan kebenaran yang diasaskan Ustaz.

Perkara pastinya, pada mereka yang datang berjumpa, tetap saya layan sebagai tetamu. ”Orang datang ke rumah mesti disambut dengan mesra”. Cuma, tetamu yang saya layan itu adalah berbincang mengenai Silat Cekak. Perbincangan itu pula adalah berkisar pda pengalaman saya yang ada dan seadanya

Selalu saya tegaskan bahawa faktor berdasarkan pengalaman diri sendiri adalah merupakan asas perbualan dan asas perbincangan. Hal yang demikian kerana ketika ini tidak wujud lagi satu pendapat yang mencerminkan pemikiran mutlak tentang persilatan Silat Cekak. Lain padang maka lain belalangnya. Semuanya bergantung pada pandangan atau pendapat seperti mana yang dibawa dan ditafsir oleh pelbagai pihak lain yang ada kepentingan dalamnya.

Itu sebabnya, selalu saya tegaskan betapa saya bercakap dan berbincang adalah berdasarkan pengetahuan, pemikiran dan tafsiran saya sendiri. Itulah juga yang saya faham tentang kefahaman dan gerak Silat Cekak sejak dulu hingga sekarang. Sejak zaman Ustaz Hanafi hinggalah ke zaman yang ada sekarang. Perkara pentingnya ialah saya tidak mempunyai sebarang cita-cita atau sebarang kepentingan diri dalam persilatan Silat Cekak. Lebih-lebih lagi dalam persatuan Silat Cekak. Maka sepatutnya, tidaklah perlu ada perasaan cemas dalam diri sesiapapun tentang diri saya.

Akhirnya, ketika ini terbit pula buku secara rasmi hasil penulisan saya yang dikumpulkan mereka. Sebenarnya, ada juga dalam kalangan ahli yang telah membukukan tulisan saya secara tidak rasmi. Saya tahu kerana mereka meminta izin ilmu daripada saya. Oleh sebab saya tidak ada kepentingan tertentu dalam penulisan blog, terbitan buku-buku secara rasmi dan tidak rasmi itu bukanlah sesuatu yang merimaskan saya. Tulisan saya dalam blog-blog tersebut adalah secara terbuka. Sesiapapun boleh membacanya.

Berdasarkan perkembangan yang ada sekarang, nampaknya tumpuan pada saya adalah dalam dua situasi. Pertamanya ialah datang berjumpa saya dan berbincang dalam pelbagai persoalan kefahaman dan gerak fizikal silat. Keduanya ialah menerbitkan hasil tulisan saya dalam bentuk buku.

Maka keadaan-keadaan yang berlaku itu boleh juga menimbulkan perasaan RIMAS buat diri saya. Rimas adalah bermakna perasaan tidak enak, tidak nyaman dan tidak senang akibat suasana yang ada. Pada orang yang berkepentingan terwujud perasaan cemas manakala buat diri saya terwujud perasaan rimas. Nampaknya perasaan rimas ini tak ada penghujungnya. Ada hulu ada parang. Ada dulu maka ada sekarang. Perkara yang berlaku sekarang, dulupun pernah berlaku.

Saya yakin dan tersangat pasti dalam hati bahawa dalam persilatan Silat Cekak, perwatakan yang cuba saya ikuti adalah bersifat bundar. Sifat bundar ialah bujur seperti bentuk bulat yang dileperkan. Sifatnya boleh disesuaikan dengan pelbagai situasi, masa dan keadaan. Watak ini dianggap lebih berfikiran terbuka. Sifatnya kadang kala senang dipegang dan kadang kala susah dipegang. Watak bundar bertentangan dengan watak pipih. Sifat pipih melambangkan sifat dangkal, rata serta tipis. Hal yang demikian bersimbolkan pemikiran yang tidak boleh anjal. Taksub dan berfikiran tertutup.

Sebenarnya, perasaan RIMAS bukanlah sesuatu yang baru pada diri saya. Perasaan itu telah wujud sejak lama lagi. Cuma, darjah rimas adalah berbeza-beza berdasarkan zaman persilatan Silat Cekak itu sendiri.

Saya telah terlibat dengan persilatan Silat Cekak berdasarkan tiga zaman kepimpinan. Sejak zaman Ustaz Hanafi, Pak Ak dan seterusnya En Mat. Ketiga-tiga pemimpin Silat Cekak itu mempunyai stail kepimpinannya yang tersendiri. Apapun, itulah tiga pemimpin yang sah dalam satu rataian atau rangkaian kepimpinan persilatan Silat Cekak. Luar dari rangtaian atau rangkaian itu dapatlah dianggap sebagai tidak sah dan tidak benar kerana tidak ada asal usul dalam apa-apa aspekpun berdasarkan persilatan Silat Cekak.

Kalau berdasarkan persatuan, maka perkara yag tidak sah boleh disahkan. Itu sebabnya dalam aspek kepimpinan, saya tidak berminat membincangkannya dalam konteks persatuan. Kalau berdasarkan persatuan, semuanya boleh jadi. Perkara penting dalam persatuan ialah konsep kuasa. Maka timbullah prinsip berusaha mendapatkan kuasa dan berusaha mengekalkan kuasa. Soal-soal yang berkaitan adat dan adab persilatan boleh terketepi dan tidak dipandang lagi sebagai satu kayu ukur untuk maksud kesahan atau kebenaran kepimpinan tertinggi persilatan.

Kalau berdasarkan persatuan, mamak tongkangpun boleh dilantik sebagai ketua atau sebagai pemimpin. Perkara pentingnya ialah sokongan ahli berdasarkan peraturan yang ada. Soal asal usul, kefahaman, pembawaan, perwatakan dan sebagainya adalah tidak lagi dipentingkan. Perkara pentingnya ialah sokongan ahli. Untuk mendapatkan sokongan ahli maka pelbagai strategi boleh digunakan. Inilah satu perkara yang merimaskan.

Sebenarnya perasaan rimas telah lama wujud dalam diri saya. Sejak zaman Ustaz lagi saya pernah alami perasaan rimas. Maka eloklah saya bincangkan peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku yang telah menimbulkan perasaan rimas  dalam hati saya. Perkara yang baik jadikan teladan dan perkara yang buruk jadikan sempadan. Bersambung dalam keluaran yang akan datang.

24.0 PENERBITAN TULISAN.

 Lama saya tidak menulis. Hal yang demikian kerana dua perkara. Pertamanya ialah penulisan dalam blog ini adalah berdasarkan kepada tulisan bagi menjawab persoalan yang dikemukakan pada saya. Oleh sebab setakat ini tidak ada persoalan yang dikemukakan maka hal yang demikian menyebabkan dorongan menulis telah ditangguhkan buat sementara waktu.

Keduanya ialah kesibukan saya menghasilkan sebuah lagi buku berkaitan dengan pendidikan. Buku itu diusahakan bersama dengan satu kumpulan pendidik yang lain. Kerja-kerja menulis tekahpun siap dan akan diterbitkan sedikit masa lagi dengan kerjasama Institut Aminuddin Baki.

Saya telah banyak menulis tentang persilatan Silat Cekak. Kesemua hasil penulisan saya adalah dimuatkan dalam beberapa blog. Setiap blog mempunyai konsep penulisan yang tersendiri. Dalam blog Sepak Minang, tumpuan penulisan lebih banyak pada soal pepecahan. Ketika itu, barisan kepimpinan banyak memberi masa dan tumpuan pada pengurusan persatuan. Sudah tentulah hal yang demikian telah membantutkan serba sedikit minat dan tumpuan pada perkembangan bidang persilatan.

Pepecahan telah mengundang kepelbagaian persatuan. Kesannya turut mempengaruhi aspek persilatan. Silat Cekak mula ditafsir dengan berbagai tafsiran mengikut pembawaan persatuan. Hal yang demikian telah mendorong kepada berlakunya pelbagai perubahan dalam persilatan.

Oleh sebab itulah maka dalam blog Sepak Minang, saya turut menyentuh dan menulis tentang pelajaran Silat Cekak berdasarkan pengalaman saya menuntut. Tujuan penulisan tersebut adalah sebagai usaha mewujudkan satu medan perbincangan dalam ilmu persilatan Silat Cekak dalam konteks perbandingan gerak persilatan Silat Cekak. Untuk menimbulkan aspek perbandingan ini, saya tidak dapat mengelak dari membuat penceritaan berdasarkan pengalaman dan pengalamian saya semasa menuntut Silat Cekak daripada Ustaz sendiri.

Oleh sebab itulah, dalam blog Sepak Minang, saya turut membincangkan tentang pelajaran Silat Cekak dari pelajaran Kaedah hingga kepada pelajaran kemahiran. Perlu ditegaskan bahawa perbincangan tersebut adalah berdasarkan kepada pengalaman saya mendapatkan pelajaran-pelajaran berkenaan.

Apabila keadaan persatuan kita menjadi semakin tenang selepas pepecahan gelombang pertama dan kedua maka tumpuan penulisan lebih banyak kepada usaha-usaha membangunkan persatuan itu sendiri. Hal yang demikian menyebabkan saya memberhentikan penulisan dalam blog Sepak Minang. Sebaliknya, saya telah menulis dalam blog yang baru iaitu Lading Emas. Blog ini juga telah disediakan oleh anak didik saya dengan tujuan menyediakan ruang pada saya untuk menulis hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan persatuan.

Untuk mengurus persatuan, perlu ada usaha-usaha pembangunan diri dalam kalangan ahli. Oleh itu, tumpuan tulisan juga menjurus kepada sifat-sifat yang perlu ada dalam kalangan ahli. Hal yang demikian bagi menjamin wujudnya peningkatan kualiti ahli yang tinggi. Ketinggian kualiti itu akan memberi tempias pada kualiti persatuan itu sendri.

Untuk membentuk sebuah organisasi yang kuat, tidaklah hanya terhad pada faktor barisan kepimpinan yang hebat. Kepimpinan yang hebat tidak memberi makna jika para pengikutnya tidak hebat. Oleh itu, dalam blog Lading Emas, saya turut menyentuh tentang sifat-sifat pengikut yang sepatutnya ada bagi mempastikan semua lapisan ahli yang ada dalam persatuan Silat Cekak benar-benar mantap dan hebat. Hal yang demikian akan menjadikan persatuan kita semakin hebat dari semasa ke semasa.

Kehebatan para pemimpin dan para pengikut dalam persatuan adalah perlu diikat dengan persilatan. Ikatan itu tidak boleh bergantung semata-mata atas dasar peraturan persatuan. Hal yang demikian kerana kalau atas dasar persatuan maka kita tidak boleh lari dari pelbagai sifat yang berkaitan dengan kuasa. Akhirnya akan berlaku sifat bersaing kuasa dan sebagainya. Itu sebabnya, ikatan dalam kalangan ahli perlu diikat dengan bidang persilatan yang kaya dengan adab dan adatnya.

Hal yang demikian telah menyebabkan saya turut menulis dalam blog Lading Emas mengenai konsep dan prinsip persilatan Silat Cekak. Tujuannya ialah supaya kita benar-benar faham tentang Silat Cekak. Pada pandangan saya, dengan cara ini akan menjadikan pepecahan berikutnya boleh dikawal daripada berlaku dengan begitu cepat.

Apabila keadaan persatuan kita semakin mantap maka penulisan dalam blog Lading Emas telah diberhentikan. Anak-anak didik saya telah membuka satu blog baru yang dinamakan Seni Gedang. Tujuan blog tersebut ialah menjawab persoalan-persoalan  yang ada dalam persilatan Silat Cekak berdasarkan pengalaman saya yang seadanya.

Ketika ini, persatuan Silat Cekak telah menjadi banyak. Nampaknya, pembawaan Silat Cekak juga turut berubah berdasarkan pembawaan kepimpinan persatuan yang banyak itu. Maka timbullah pelbagai persoalan dalam kalangan ahli. Persoalan-persoalan ini sukar dibahas dalam persilatan mereka sendiri. Ramai yang bertanyakan persoalan pada saya. Maka saya jawab dalam blog Seni Gedang sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.

Blog Seni Gedang masih kekal hingga sekarang. Seperti yang saya tegaskan, penulisannya adalah berdasarkan  persoalan yang ditimbulkan ahli. Banyak persoalan maka banyaklah penulisannya. Semua isi penulisan adalah berdasarkan tafsiran dan pandangan saya sendiri selaku ahli yang begitu lama berkecimpung dalam persilatan Silat Cekak. Cekak zaman Ustaz Hanafi sendiri.

Oleh itu, apabila saya menyentuh tentang persilatan Silat Cekak sama ada dari segi falsafah, konsep atau prinsipnya maka keseluruhan perbincangan adalah mempunyai tujuan tersendiri. Semua sentuhan tersebut adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri.

Akhirnya tulisan-tulisan saya itu telah dibukukan oleh anak-anak didik saya. Mereka tersangat berminat dengan bentuk dan arah penulisan saya. Maka terbitlah buku-buku yang menghimpunkan tulisan-tulisan saya itu. Kesemuanya dihimpunkan dalam dua buah buku, mengambil sempena nama blog yang saya salurkan artikal-artikal berkenaan.

Dalam buku Sepak Minang, isi penulisannya adalah berdasarkan artikal-artikal yang saya tulis dalam blog Sepak Minang. Manakala buku Lading Emas adalah berdasarkan pada artikal-artikal yang disiarkan dalam blog Lading Emas.

Saya difahamkan bahawa edaran buku-buku tersebut adalah terhad pada permintaan. Oleh sebab itu maka kos percetakannya adalah mahal. Secara langsung harga sebuah buku tersebut dikatakan agak tinggi sedikit.

Walau bagaimanapun, pada pendapat saya eloklah buku-buku itu dijadikan koleksi simpanan dan sebagai bahan rujukan. Hal yang demikian kerana penulisannya adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri ketika berguru dengan Ustaz Hanafi.

Pada pandangan saya, melalui pambacaan buku-buku tersebut maka bolehlah meluaskan ilmu pengetahuan dan pengalaman para pembaca sebagai pengamal Silat Cekak. Ilmu dan pengalaman adalah sangat berguna bagi meningkatkan kualiti dan daya kecekapan kita sebagai seorang pesilat.

Buku Sepak Minang : 403 ms.

Tajuk: Bidang persilatan Silat Cekak.

Falsafah, Konsep dan Prinsip Kaedah.

  1. Pelajaran Buah Jatuh
  2. Pelajaran Potong.
  3. Penamat
  4. Pelajaran Kamahiran
  5. Pengendalian Kelas
  6. Kejurulatihan
  7. Artikal Umum.

Buku Lading Emas : 420 ms

Tajuk: Pembangunan diri dan pembangunan organisasi dalam konteks persilatan Silat Cekak.

 Menjiwai tokoh Ustaz Hanafi

  1. Tingkat taraf dalam organisasi
  2. Stail dalam kepimpinan
  3. Pengurusan Diri
  4. Hebatkan diri
  5. Perasaan rendah diri
  6. Komunikasi Mesra
  7. Menjalin hubungan
  8. Rapatkan diri sesama ahli
  9. Pembagunan diri
  10. Kerja berpasukan
  11. Manusia toksid.
  12. Erti kemerdekaan.
  13. Tajuk-tajuk umum yang lain.

Pesanan buku adalah bergantung kepada pemintaan ahli yang berminat. Mungkin cawangan Perak boleh dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Sekian dan terima kasih.

23.1.1. JURULATIH YANG DIIDAMKAN

Dalam tulisan ini saya cuma menekankan tentang konsep dan peranan Jurulatih dalam kelas latihan silat. Bukannya Penyelia Kelas berdasarkan konteks kefahaman saya. Bersempena dengan perayaan Hari Tenaga Pengajar tersebut, cuba kita bincangkan serba sedikit tentang sifat-sifat Jurulatih yang baik, hebat dan berkualiti berdasarkan pandangan saya. Konsep baik, hebat dan berkualiti adalah berdasarkan pengharapan penuntut yang sedang mengikuti kelas Silat Cekak. Pastinya pengalaman saya sebagai penuntut Silat Cekak di zaman Ustaz dan pengalaman saya mengajar Silat Cekak banyak mempengaruhi isi perbincangan ini.

Saya berpendapat bahawa Jurulatih yang hebat perlu memiliki sekurang-kurang sembilan sifat seperti yang berikut. Saya yakin bahawa sifat-sifat itulah yang sangat dikehendaki penuntut. Kalau tak ada sembilan sifat itu, sekurang-kurangnya milikilah tiga per empat daripadanya. Barulah dikategorikan cemerlang. Kelas pertama. Oleh itu, Jurulatih perlu koreksi diri untuk melihat berapa banyak sifat yang sepatutnya, telah dimiliki. Kalau berdasarkan skala agaknya bolehlah dikategorikan seperti berikut. Pendapat atau pandangan saya sahaja.

8 – 9 : A+ : Terbaik

6 – 7 : A   : Baik

4 – 5 : B   : Sederhana.

 2 – 3 : C   : Sedar diri.

  0 – 1 : D     : Eloklah berhenti.

Seperti yang ditegaskan, saya juga pernah menjadi penuntut. Saya yakin bahawa harapan saya adalah sama dengan penuntut-penuntut yang lain yang sedang menuntut Silat Cekak.

  1. Menghormati Penuntutnya.

 Sifat menghormati para penuntut akan melahirkan kemesraan dan menjalin hubungan baik antara penuntut dengan Jurulatih. Tidak ada jurang dalam hubungan. Jurulatih tidak meninggi diri atau sombong diri. Hal yang demikian akan melahirkan suasana yang menyenangkan dalam kelas-kelas latihan. Para penuntut tidak banyak tertekan dalam suasana mereka sememangnya sedang tertekan untuk mengingati gerak-gerak Silat Cekak yang sentiasa berubah atau bertambah dalam setiap sesi latihan.

Mereka yang menuntut Silat Cekak adalah terdiri dari pelbagai lapisan umur, latar belakang pekerjaan dan sosio-ekonomi yang berbeza-beza. Idea atau pendapat mereka tidak sama. Maka dalam hal ini, Jurulatih perlu berhati-hati. Semua pendapat mereka perlulah dihargai. Ketika berhubung secara formal, berhati-hati dengan perkataan yang digunakan. Misalnya, pada penuntut yang berumur, elakkan buat panggilan ‘kamu’. Tak sesuai langsung.

Istilah kamu di tempat saya jika diucapkan oleh orang yang tidak sepatutnya maka orang itu dianggap kurang ajar. Orang yang tidak sepatutnya, membawa makna tak berhak bercakap dalam suasana formal. Situasinya bergantunglah pada umur, kedudukan, pangkat atau penghormatan.

Jangan takut hilang penghormatan. Buatlah panggilan nama atau penggilan berencik atau bertuan. Sesungguhnya, penuntut kita akan sentiasa menghormati kita sebagai Jurulatih  yang memandu mereka dalam persilatan Silat Cekak. ”Ular menyusur akar tak akan hilang bisanya”.

Jurulatih yang hebat akan berjaya mewujudkan suasana belajar untuk semua penuntutnya. Sifat Jurulatih itu tidak banas baran. Hal yang demikian akan memudahkan anak didiknya berasa selamat untuk memberi pendapat atau meluahkan masalah tentang satu-satu perkara. Secara langsung maka wujudlah suasana belajar sambil menghormati dan menghormati orang lain.

  1. Jurulatih berjaya mewujudkan tanggungjawab komuniti dan semangat kekitaan dalam kelas.

Peranan Jurulatih bukan setakat menyampaikan pelajaran silat. Mereka juga perlu membantu untuk membentuk peribadi para penuntutnya seperti mana yang dikehendaki dalam falsafah persilatan Silat Cekak. Sifat bekerjasama dan saling menghormati akan mewujudkan suasana harmoni dan seimbang dalam kalangan ahli. Ekorannya, akan wujud satu suasana saling menyokong sesama penuntut dalam kelas. Setiap penuntut akan sedar tentang kewujudan peraturan tak rasmi yang perlu diikuti dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Mereka juga sedar akan peranan kerjasama sesama mereka sebagai ahli yang menuntut ilmu silat dalam kelas. Sifat itu adalah hasil pemupukan Jurulatih.

Kebolehan penuntut adalah berbeza-beza. Ada yang cepat dapat dan ada yang kemas gerak silatnya. Dalam hal ini, Jurulatih akan berjaya meyakinkan penuntut yang lemah untuk mendapatkan bantuan daripada rakan-rakannya yang lebih berkemajuan. Manakala penuntut yang lebih maju daya geraknya akan sentiasa memberi bantuan pada rakan-rakannya yang lain. Bukanlah mereka cuba mengambil alih tugas Jurulatih, melainkan membantu rakan sepasukan bagi maksud kehebatan bersama-sama.

Apabila ada sebarang akriviti persatuan, semua ahli akan turut bersama. Tidak ada alasan untuk melepas diri. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Ternampak semangat perpaduan yang tinggi dan erat dalam kalangan ahli. Sehati dan sejiwa. Secara langsung akan wujudlah semangat kekitaan dan persefahaman dalam kelas Silat Cekak yang dikendalikan Jurulatih berkenaan.

.3.  Jurulatih peramah, senang didampingi, bertenaga dan mempunyai sikap ambil berat.

 Jurulatih yang hebat adalah merupakan seorang Jurulatih yang senang didekati. Para penuntut berasa yakin dapat berjumpa dan bergaul mesra dengan mereka dalam kehidupan kelas silat. Di samping berbual atau bersembang, para penuntut boleh berkongsi masalah yang berkaitan banyak perkara. Termasuk masalah peribadi atau masalah rumah tangga. Jurulatih akan menjadi pendengar yang baik. Tidak terus memberi ulasan tanpa mendengar penjelasan terlebih dahulu.

Sebagai Jurulatih yang hebat juga, dia sentiasa berusaha memiliki kemahiran mendengar yang tinggi, dapat meluangkan masa untuk berbincang dan tidak cuba menyisih diri kerana bersifat ego atau meninggi diri. Beliau tidak akan membawa isu peribadi dalam kelas yang dipimpinnya.

      Kehadiran Jurulatih dalam kelas-kelas silat sentiasa ada dan bertenaga. Tidak rajin ponteng kelas. Sentiasa mendahului masa, cergas dan menyenangkan mata memandang. Dalam kalangan anak didiknya Jurulatih yang berkenaan melambangkan sifat yang berwibawa. Kita tentunya boleh bayangkan jika ada dalam kalangan Jurulatih yang bertampal koyok di merata dahinya. Lemas dan rimas pada pandangan kalangan penuntutnya untuk belajar silat.

  1. Jurulatih meletakkan ekpektasi tinggi pada anak didiknya.

      Menyampaikan pelajaran memerlukan kesabaran. Kebolehan penuntut tidak sama. Ada yang cepat dapat dan ada yang lambat dapat. Apapun, sebagai Jurulatih, janganlah hendaknya memandang rendah pada kebolehan anak didiknya yang lambat dapat. Mereka sedang menuntut. Bina keyakinan mereka.

Beri pengetahuan tahu yang sepatutnya pada orang yang belum tahu dan hendak tahu. Sedarlah bahawa matlamat atau pengharapan pada penuntut akan mempengaruhi kebolehan mereka. Kalau kita tidak memberi dorongan atau motivasi pada mereka yang agak lemah dalam pelajaran, pastinya mereka akan terus ketinggalan. Kurang bersemangat. Berkemungkinan besar ereka tidak akan dapat menghabiskan pelajaran.

Jurulatih perlu sedar bahawa usaha anak-anak didiknya adalah berkait rapat dengan harapan tinggi atau rendah yang diletakkan Jurulatih pada mereka. Jangan sesekali menggunakan perkataan-perkataan seperti lembabnya, lemahnya, benaknya, lambatnya dan sebagainya. Perkatan-perkataan itu bersifat doa kita pada mereka. Kalau termakbul maka berterusanlah mereka dalam suasana yang kita sebutkan itu. Sepatutnya, berilah pujian pada gerak yang dilakukan walaupun menampakkan kelemahan. Misalnya ayat yang berbunyi, ”Gerak tu bagus tapi……perlu ada sikit penambahbaikan.”

  1. Jurulatih sentiasa berminat untuk belajar bagi menambahkan pengetahuan dan pengalaman kendiri.

       Jurulatih yang hebat akan sentiasa meningkatkan pengetahuan diri demi menyampaikan kualiti pelajaran pada anak didiknya. Mereka sentiasa menambahkan pengetahuan dan pengalaman dalam persilatan Silat Cekak. Hal yang demikian termasuklah mempelajari strategi pengajaran baru dan menggunakan idea baru dalam pengajaran dan pembelajaran anak didiknya.

Pada kebiasaannya, pengetahuan Jurulatih mengajar silat adalah berdasarkan pengalamannya semasa menuntut Silat Cekak dulunya. Apa yang dia dapat maka itulah yang dicurahkannya kembali. Kalaulah Jurulatih itu hasil didikan Jurulatih yang berpengalaman dan berpengetahuan tinggi dalam Silat Cekak maka banyaklah untungnya. Sebaliknya, jika Jurulatih yang mendidiknya kurang pengalaman maka setakat itulah ilmu pelajaran yang seadanya untuk disampaikan kepada anak didik Silat Cekak seterusnya..

Saya selalu nyatakan dalam tulisan terdahulu betapa Jurulatih perlu elakkan diri umpama lilin yang membakar diri bagi meyinari suasana sekeliling. Setiap musim, mereka akan melahirkan para penuntut baru Silat Cekak yang tamat silat. Pada hal, pengetahuan mereka sentiasa berada di takok lama. Tidak ada usaha untuk berjumpa dengan Guru Utama atau orang-orang kanan yang berpengalaman dalam persilatan Silat Cekak untuk maksud menimba ilmu dan menambahkan pengalaman.

Amat malang jikalau anak didik mereka pula yang terus berusaha dan berusaha untuk menguasai gerak silat secara mantap. Sebaliknya, Jurulatih tidak berbuat apa-apa untuk menambahkan pengetahuan; melainkan berpuas hati dengan ilmu pengetahuan yang ada seadanya.

Jurulatih yang sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan dan pengalaman akan dapat memberi keyakinan pada anak didiknya. Mereka akan menjadi sumber inspirasi pada anak didiknya untuk terus mendalami ilmu yang ada dalam persilatan Silat Cekak secara tekun dan setia.

Jurulatih yang banyak ilmu dan pengalaman akan berjaya berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan anak-anak didiknya. Cakap-cakap dan perbuatan mereka lebih masin. Hal yang demikian akan menambat minat para penuntut untuk terus menerus bergiat cergas dalam persilatan Silat Cekak.

  1. Jurulatih mempunyai kemahiran kepimpinan tinggi.

      Menguasai kemahiran memimpin perlu ada pada Jurulatih yang hebat. Mereka akan sentiasa berfokus pada semangat berpasukan, berbincang untuk membuat keputusan dan meningkatkan hubungan sesama ahli dalam kelas yang dipimpin. Stail kepimpinan akan ditafsir anak didiknya. Kalau berani cuba dapatkan maklum balas dari anak-anak didik sendiri tentang daya kepimpinan kita. Saya banyak menyentuh soal kepimpinan dalam tulisan yang terdahulu.

Menjadi pengurus atau ketua adalah tidak sama dengan sifat seorang pemimpin. Seorang pemimpin yang hebat akan dapat mengerakkan hari orang lain untuk bertindak. Maknanya, orang lain bertindak bukan berdasarkan paksaan, melainkan atas sifat sukarela atau satu bentuk pergorbanan ingin berbuat sesuatu.

Di samping itu, Jurulatih yang hebat akan memberi peluang kepada anak didiknya berperanan sebagai pemimpin jika ada ruang. Mereka dilatih sebagai pemimpin pelapis bagi mempastikan kelas-kelas latihan   mempunyai kesinambungan dalam aspek kepimpinan. Maknanya, semasa kelas-kelas latihan, Jurulatih akan mengenal pasti anak didiknya yang boleh memimpin persatuan dan persilatan. Bakat kepimpinan mereka akan dipupuk dari semasa ke semasa.

7.  Jurulatih dapat menyesuaikan diri dengan kepelbagaian kaedah pengajaran mengikut keperluan.  

             Kebolehan anak didik adalah berbeza-beza. Sebagai seorang Juurulatih yang hebat, dia akan sentiasa mencari kaedah baru dalam pengajaran supaya anak didiknya lebih memahami konsep-konsep tertentu yang ingin disampaikan. Pengajarannya tidak terikat dengan konsep sehala sahaja. Dia menggalakkan perbincangan agar anak didiknya akan mudah faham.

Kita boleh kiaskan umpama pemandu yang memandu kereta di lebuh raya yang mempunyai tiga lorong. Ramai yang ingin mengambil jalan mudah dengan memandu di lorong tengah. Tidak ada dorongan untuk memotong secara memandu di lorong kanan atau memberi peluang orang lain memotong secara memandu di lorong tepi. Dorongannya memandu lebih kepada konsep syok sendiri.

Murid yang lemah akan bertambah lemah jika teknik pengajaran lebih terikat sepanjang masa pada kaedah berbaris. Teknik ini adalah merupakan teknik tradisional dalam persilatan kita. Kesannya, Jurulatih tidak dapat melihat akan kelemahan anak didiknya. Asyik membilang tanpa dapat memberi perhatian secara berfokas pada setiap penuntut. Kalaupun ada teguran, rakan-rakan sesilat juga akan berasa jemu apabila menunggu rakan-rakannya lain mengulang gerak.

Eloklah sekali sekali Jurulatih berlatih dengan mereka. Dalam masa berlatih itu, Jurulatih akan dapat mengesan kelemahan mereka. Perbaiki secara langsung ketika itu juga. Selain kaedah itu, dalam situasi yang lain mungkin juga kaedah perbincangan boleh dilakukan. Pasangan yang melakukan gerak silat akan dijadikan contoh perbincangan pada rakan-rakan yang lain tentang kekuatan dan kelemahannya. Banyak lagi kaedah penyampaian yang lain.

Apapun kaedahnya, perkara penting ialah adanya kepelbagaian dalam kaedah penyampaian pelajaran dalam kalangan penuntut. Hal yang demikian bagi memudahkan kefahaman dan mengelak dari perasaan jemu dalam kalangan penuntut. Barulah kelas yang dikendalikan Jurulatih berada dalam suasana meriah dan semua penuntut berada dalam suasana motivasi yang tinggi.

8      Jurulatih sentiasa bekerjasama dengan rakan-rakannya setiap masa.

Pepatah kita ada mengatakan, jangan menjadi umpama katak di bawah tempurung. Kita tidak boleh berada dalam dunia kita sahaja. Jurulatih perlu bersifat yakin atau rendah diri untuk menimba ilmu dari rakan-rakan yang lain. Sekali-sekali, buatlah lawatan ke kelas-kelas lain yang berlainan tempat atau berlainan negeri. Mereka tidak perlu rasa lemah atau rendah diri untuk meminta bantuan atau nasihat dari rakan-rakan Jurulatih lain. Malah, dalam keadaan-keadaan tertentu, jemput Jurulatih luar dari negeri lain mengambil alih kelas latihan kita pada satu-satu masa.

Zaman dulu-dulu, saya kerap menerima kunjungan ahli-ahli Silat Cekak dari pusat-pusat latihan yang lain. Kerap kali satu bas rombongan yang berkunjung ke cawangan Perak. Malah, cawangan Perak pernah membuat MOU dengan cawangan Pulau Pinang. Ada masanya saya dijemput mengajar Silat Cekak atau membuat ujian di sana setelah habis satu-satu tahap pembelajaran. Begitu juga sebaliknya. Saya mempelawa Jurulatih dari sana berkunjung ke cawangan Perak untuk mengendalikan latihan atau ujian pelajaran.

Sebagai Jurulatih juga mereka perlu menerima kritikan, teguran dan nasihat dari rakan-rakan untuk menjadi seorang Jurulatih yang baik. Jangan ambil hati atau mudah melenting apabila orang lain memberi komen yang membina.

  1. Jurulatih mengekalkan sikap profesionalisme setiap masa.

           Menjadi Jurulatih memerlukan kemahiran atau skil yang tersendiri. Jurulatih telah dilantik dan diberi tauliah oleh Guru Utama. Mereka adalah merupakan pemimpin pertengahan dan merupakan orang kanan Guru Utama. Sebagai orang kanan, Jurulatih perlu memainkan beberapa peranan penting.

Mereka perlu mengetahui kehendak Guru utama. Jurulatih adalah wakil guru. Oleh itu sudah semestinyalah hala tuju pembawaan Silat Cekak adalah berdasarkan kehendak Guru Utama. Zaman dulu-dulu kelas tidak banyak. Ketika kami hendak mengajar silat, kami akan bersalam dengan Ustaz terlebih dahulu sebagai adab meminta keizinan. Setelah bersalam barulah kami menjalankan tugas. Nampaknya, hal yang demikian sukar dilakukan. Kelas-kelas silat semakin banyak. Pada pendapat saya, memadailah Jurulatih menyebarkan ilmu persilatan berdasarkan kehendak guru baik dari segi konsep dan falsafah, mahupun prinsip gerak yang ada dalam persilatan Silat Cekak.

Ketika menjalankan tugas sebagai Jurulatih, mereka perlu bersifat jujur untuk menunaikan tanggungjawab. Jangan sesekali cuba menyebarkan pengaruh diri sendiri secara mengambil alih perhatian atau ketaatan penuntut kepada Guru Utama.

Peranan yang ketiga ialah menjadikan diri sebagai seorang yang boleh dipercayai. Mereka tidak akan menyalahgunakan kuasa yang diberi hingga boleh terhakis kepercayaan dan keyakinan Guru Utama pada mereka. Mereka perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang berkesan agar pelajaran yang disampaikan adalah turut berkesan.

Sebagai orang kanan juga, Jurulatih itu merupakan mata dan telinga Guru Utama. Mereka juga berperanan untuk mencerap dan menilai suasana pembelajaran penuntut dalam kelas-kelas latihan silat. Dalam hal ini mereka perlu membuat keputusan yang bijak bagi mengatasi satu-satu masalah yang timbul dalam kelas-kelas latihan silat yang dikendalikan mereka. Hal yang demikian juga merangkumi  sifat ketinggian keperibadiannya hingga kepada kemahiran merancang dan persiapan diri pada setiap kali kelas latihan

Akhir sekali, sebagai seorang Jurulatih mereka mesti sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas tanpa mengharapkan sebarang pulangan. Tugas dan tanggungjawab dilakukan   bukan merupakan bebanan melainkan merupakan satu bentuk pengorbanan untuk mengetengahkan budaya pusaka bangsa Melayu.

Kesimpulannya, sebagai seorang Jurulatih yang baik, hebat dan berkualiti, mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan diri mereka sedemikian. Kesannya akan diperoleh anak didik mereka sendiri. Jurulatih yang hebat akan menjadikan anak didik mereka hebat dan sentiasa mengingati Jurulatih yang melatih mereka. Jasa dan pengorbanan Jurulatih akan sentiasa diimbas kembali sebagai Jurulatih yang pernah membimbing mereka.

Oleh itu, seorang Jurulatih yang dilantik Guru Utama, perlu menganggap diri mereka sebagai pemegang amanah bagi melanjutkan kesinambungan ilmu persilatan Silat Cekak. Tugas sebagai Jurulatih juga adalah murni kerana mereka mengajar orang lain menjaga diri yang dikurniai Allah. Oleh itu, berbanggalah sebagai Jurulatih. Sekian dan selamat menyambut Hari Tenaga Pengajar.